PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan perasaan sedih selepas mengetahui sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh terkorban dalam nahas membabitkan lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pagi tadi.
Perkongsian tersebut dibuat oleh pengguna Facebook, Lishalinee Pinkygirl yang berkongsi penghargaan terhadap anggota FRU yang bertugas mengawal perayaan penganut Hindu dalam Op Chariot, semalam.
“Terima kasih kepada semua pegawai yang kawal selia perayaan penganut Hindu ini dengan begitu ketat. Kami terhutang budi kepada anda semua.
“Tidak saya sangka sama sekali ia adalah malam terakhir kamu semua. Pilu dan menyayat hati saya apabila susunan sebaris dalam satu pasukan,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Lishalinee turut menitipkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas terbabit.
“Salam takziah kepada semua yang kehilangan suami, abang, adik dan ayah. Semoga semuanya kuat menghadapi ujian ini,” katanya.
Ruangan komen hantaran itu turut dibanjiri dengan ucapan takziah daripada orang ramai susulan tragedi terbabit.
“Takziah kepada keluarga pegawai,” tulis seorang pengguna.
“Berehat dengan tenang semuanya,” komen seorang lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, hari ini.
Mangsa yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Difahamkan, kenderaan yang membawa 15 anggota FRU termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas kawalan sempena Op Chariot, semalam. – KOSMO! ONLINE