PETALING JAYA – Salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pagi tadi sempat memuat naik video merakamkan situasi di dalam trak bersama rakan seperjuangan yang lain.
Mangsa, Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar memuat naik video tersebut menerusi ‘status’ WhatsAppnya sehingga tular di media sosial hari ini.
Dalam video dimuat naik, kelihatan rakan anggota FRU yang lain sedang berborak bersama satu sama lain ketika dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan.
Lebih sayu lagi, ada beberapa anggota yang sempat senyum ke arah kamera seakan-akan tahu bakal melunaskan tugasan terakhir sebagai petugas barisan hadapan.
Dipercayai juga, kebanyakan mangsa yang maut menaiki trak yang sama dengan Allahyarham Akmal Wafi.
Di ‘status’ seterusnya pula, Allahyarham memuat naik suasana di Menara Condong, Teluk Intan, dipercayai sedang bertugas bagi perayaan Hari Wesak yang disambut semalam.
Sementara itu, di ruangan komen juga terdapat kenalan kepada salah seorang mangsa lain yang terkorban iaitu Allahyarham Koperal Mohd. Pozli Jaudin.
Wanita yang dikenali sebagai Aishah itu berkata, Allahyarham Mohd. Pozli merupakan suami kepada sepupunya.
“Takziah buat sepupu saya kehilangan suami Ahmad Pozli yang duduk nombor dua dari masuk ‘track’ tu,” komennya.
Dalam pada itu, pengguna lain di ruangan komen mendoakan agar kesemua roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah.
“Perginya ketika bekerja. Semoga angkat semua dalam mati syahid. Al Fatihah dan salam takziah buat keluarga,” komen Umi.
“Semoga syurga tempat rehat kalian, Al Fatihah,” komen Badrina.
Terdahulu, 10 anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. hari ini.
Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam.- KOSMO! ONLINE
@namrunchannel Salam Takziah kepada keluarga anggota yang terlibat 🥺🤲🏻 #FRU #Unit5 ♬ original sound – Abam_JiwangkapaK