Gugur nama pengarah Misteri Fraser 1910, FDAM tuntut penjelasan

3 hours ago 1

PETALING JAYA – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa penerbit filem Misteri Fraser 1910 tampil memberi penjelasan berhubung tindakan menggugurkan nama pengarah asal, Shuhaimi Zulkefli, daripada semua bahan promosi rasmi termasuk poster tayangan.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki, berkata, tindakan tersebut dianggap tidak profesional dan mencemarkan etika kerja industri perfileman tanah air, lebih-lebih lagi apabila filem terbabit mendapat sokongan dana FAME daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“FDAM memandang serius isu ini kerana Shuhaimi ialah pengarah sah yang terlibat sejak awal pembikinan naskhah tersebut, termasuk dalam sesi praproduksi dan penggambaran.

“Tetapi apabila hasil akhir disiarkan, namanya langsung tidak diberi kredit dalam poster atau bahan promosi rasmi. Ini bukan sahaja satu penghinaan, malah membunuh semangat karyawan filem,” katanya dalam satu kenyataan.

Afdlin turut mendedahkan Shuhaimi tidak dibenarkan menyertai proses pascaproduksi, malah dikaitkan dengan kenyataan awam sehingga menerima ugutan tindakan undang-undang dan tuntutan ganti rugi bernilai RM1 juta daripada pihak penerbit.

“Hubungan antara pengarah dan penerbit sepatutnya dibina atas dasar saling menghormati dan kontrak yang jelas. Bukannya bertindak zalim apabila ada perkara tidak sehaluan.

“Kami tidak boleh biarkan amalan seperti ini menjadi budaya, apatah lagi dalam naskhah yang disokong dana kerajaan,” ujarnya.

FDAM juga meminta Finas bertindak segera bagi memastikan hak penggiat seni di negara ini tidak terus dipandang sepi, terutamanya dalam isu yang melibatkan pengiktirafan dan kredibiliti pengarah.

“Kami mahu Finas campur tangan. Pengarah bukan buruh tanpa suara. Mereka memainkan peranan utama dalam mencorakkan hala tuju sesebuah naskhah.

“Kami tidak mahu isu ini menjadi ikutan. Jika perkara seperti ini tidak dibendung, industri akan kehilangan pengarah-pengarah berkualiti yang hilang kepercayaan terhadap sistem,” tegasnya.

Shuhaimi merupakan ahli aktif FDAM dan antara tenaga kreatif muda yang dilihat konsisten menghasilkan karya bergenre fiksyen tempatan.

Isu melibatkan Shuhaimi itu juga turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengarah filem lain yang melihat perkara itu sebagai isyarat bahawa hak serta pengiktirafan profesional mereka boleh dinafikan pada bila-bila masa.– KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |