HULU SELANGOR – Didakwa sebagai bapa yang tidak tanggungjawab, pelakon Hafidz Roshdi sekeras-kerasnya menafikan dakwaan terbabit.
Dalam masa sama, Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi, 31, turut meminta individu yang membuat dakwaan tersebut berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Anak-anak itu tetap berbinkan saya sebagai bapa mereka. Mereka tetap tanggungjawab saya dan mati pun mereka adalah anak saya.
“Tak kisahlah orang nak cakap saya tak pedulikan anak-anak atau apa yang penting, saya dah buat sehabis baik.
“Saya yang failkan hadanah, saya yang pergi ke mahkamah dan hadir setiap kali nak perjuangkan hak lawatan untuk jumpa anak-anak.
“Bagi saya orang yang bercakap itu harus berfikirlah sebab anak-anak itu tanggungjawab saya,” katanya kepada Kosmo! Online pekarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Juang itu memberitahu sering mendahulukan dua anaknya sejak mereka lahir bagi menepis dakwaan.
“Saya tahu diri saya, tak pernah saya mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Daripada mereka kecil sampai sekarang, saya balik dari kerja di set penggambaran atau apa, saya mesti nak luangkan masa dengan mereka.
“Saya cuba lapangkan masa untuk bawa mereka berjalan, pendek kata sejak mereka lahir, saya jalankan tanggungjawab sebagai bapa sehabis baik.
“Jadi kalau orang nak kata saya tak bertanggungjawab, tak apalah. Saya sahaja yang tahu diri saya serta pendirian saya,” ujarnya.
Pada 30 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memberikan hak lawatan sementara kepada Hafidz sepanjang cuti persekolahan hujung Mei ini, sementara menantikan keputusan induk hadanah yang dijadualkan didengar pada 29 Julai.
Sebelum ini, Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 27 Julai 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 8, dan Umar yang kini berusia 5 tahun. – KOSMO! ONLINE