PETALING JAYA – Sektor koperasi Malaysia menyumbang dengan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, saham dan langganan sektor koperasi kini berjumlah RM18.3 bilion dengan aset bernilai RM173.3 bilion dan perolehan tahunan RM68.2 bilion.
Jelas beliau, ia selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 untuk menjana perolehan yang lebih besar menjelang tahun 2030 meliputi dalam dan luar negara.
“Jaringan kerjasama perlu diperluaskan supaya perolehan koperasi juga boleh dikembangkan di luar negara sama seperti syarikat besar negara yang menembusi pasaran antarabangsa untuk pasaran produk dan perkhidmatan.
“Itu sebabnya tahun lepas kita telah mulakan penyertaan bersama syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke peringkat antarabangsa dan tahun ni kita akan menyertai beberapa ekspo termasuk Expo Osaka 2025 di Jepun pada bulan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas berucap di Majlis Perasmian Dialog Koperasi ASEAN (ACD 2025), di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Timor Laste, Arsenio Pereira da Silva yang mencadangkan kerjasama terkait pembangunan kapasiti kooperasi di antara kedua-dua negara dapat dibangunkan dalam bentuk memorandum persefahaman.
“Kita juga menerima jemputan daripada Timur Leste untuk menyertai satu persidangan koperasi yang akan diadakan pada Jun tahun hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, beberapa resolusi akan dicapai menerusi dialog berkenaan antaranya mahu ACO diktiraf sebagai platform rasmi untuk gerakan koperasi.
“Kedua, pengiktirafan koperasi sebagai sektor ketiga pembangunan ekonomi ASEAN. Kita jangka akan membentuk lima ke enam resolusi meliputi gerakan ekosistem peniagaan macam kita di Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE