Selangor bangun Pelan Induk Air atasi isu ketika kemarau, hujan

4 hours ago 1

KUALA SELANGOR – Pelan Induk Air sedang dibangunkan dalam menangani segala isu bekalan air secara menyeluruh di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelan itu akan menjadi garis panduan dalam menghadapi musim kemarau atau lebihan ketika hujan.

Katanya, pelan itu dijangka akan disiapkan dalam tempoh setahun lagi dengan merangkumi aspek penyimpanan air, lokasi kolam tadahan serta sistem kawalan banjir jangka panjang.

“Kalau air kurang kita hadapi masalah bekalan, namun jika lebih pula, berlaku banjir dan pelan induk ini akan ambil kira kedua-dua aspek secara menyeluruh.

“Setakat ini, lebih 100 kolam telah dikenal pasti di seluruh negeri dan kebanyakannya dalam proses untuk digazetkan sebagai kawasan simpanan strategik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C, di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan SJAM yang telah dilakukan kerajaan negeri akan turut dirangkumkan dalam Pelan Induk Air itu.

“SJAM ini adalah melihat semua kapasiti dan kompositi bekalan air mentah. Kolam-kolam yang kita ada.

“Sebelum ini, mungkin kita tak ada databasenya. Kita tahu ada di sini, sana. Apa kandungannya. Adakah ia selamat digunakan. Jadi, menerusi SJAM kita melihat keseluruhannya dalam memastikan bekalan air mencukupi paling tidak 50 tahun ke depan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, kata Amirudin, penyerahan dua pakej itu melengkapkan dua pakej lain yang telah beroperasi sebelum ini seterusnya menjamin bekalan air berterusan kepada 4 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Keseluruhannya sebanyak RM320 juta kita belanjakan pembinaan SJAM ini yang memastikan bekalan air kepada 1.2 juta akaun pengguna meskipun berlaku pencemaran.

“Saya tidak berani kata 100 peratus tetapi 99 peratus (pastikan bekalan air berterusan). Cuma mungkin boleh berlaku juga cabaran-cabaran lain yang kita tak dapat elakkan mungkin akan berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |