‘Anak saya terjatuh, saya tak mengaku salah’

3 hours ago 2

ALOR GAJAH – Ibu dan bapa kepada bayi lelaki berusia dua bulan yang sebelum ini dilaporkan kritikal disyaki akibat didera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Nur Khairunnisa Jusni dan suaminya, Muhamad Nor Azim Abdullah masing-masing berusia 22 tahun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Nur Khairunnisa turut menyatakan bayinya hanya terjatuh selepas ditanya sebanyak dua kali oleh pihak mahkamah sama ada dia memahami pertuduhan dibacakan susulan tertuduh hanya mendiamkan diri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu dan bapa kepada seorang bayi lelaki berusia dua bulan telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Pelangi, daerah Alor Gajah, Melaka antara 2 Mei hingga 5 Mei 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain, tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan membabitkan anak kandung yang baru berusia dua bulan.

Peguam Mohammed Hissham Ramdzan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar pasangan itu diberikan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tambahnya, Nur Khairunnisa juga baru sahaja selesai tempoh berpantang dan tidak bekerja selain suaminya hanya seorang operator kilang dengan pendapatan bulanan RM1,800.

Aiza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan tarikh 12 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki akibat didera ibu dan bapa kandungnya di Taman Seri Pelangi, Sungai Petai, Alor Gajah, 5 Mei lalu.

Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang berusia 22 tahun.

Wanita terbabit turut mendakwa bayinya diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa di hospital sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan dilakukan mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |