LEGENDA berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil dengan visi berbeza dalam melahirkan pelumba berbasikal masa depan, bukan hanya mendominasi velodrom tetapi turut cemerlang dalam acara jalan raya dan Grand Prix (GP).
Pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menyasarkan Team Azizul miliknya bakal menjadi pusat pembangunan pelumba “serba boleh” yang mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran perlumbaan moden.
“Sebenarnya Team Azizul sudah lama saya tubuhkan, cuma pelaksanaan tidak sepenuhnya kerana saya masih terikat komitmen bersama pasukan kebangsaan. Kadang-kadang saya beraksi bersama pasukan kebangsaan dan pada waktu lain saya kembali mewakili Team Azizul.
“Saya juga sering beri peluang kepada pelumba lain untuk menimba pengalaman, sebab jumlah pelumba kami agak ramai. Fadhil Zonis sahaja yang konsisten bersama pasukan sejak awal kerana saya nampak potensinya sangat besar untuk berkembang,” katanya.
Bekas juara dunia keirin 2017 itu merasakan pendekatan lebih menyeluruh perlu diberi tumpuan termasuk aspek teknikal, taktikal dan pembangunan fizikal fleksibel untuk menepati kehendak perlumbaan masa kini.
“Pasukan ini sudah berdaftar secara rasmi dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan kami mempunyai struktur lengkap termasuk pengurus pasukan serta individu bertindak menguruskan tajaan secara profesional.
“Walaupun kami bukan pasukan yang mempunyai dana besar, sokongan penaja seperti CIMB dan beberapa lagi banyak membantu saya kekal aktif untuk terus menyumbang kepada sukan berbasikal, sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun akan datang,” jelas Azizulhasni.
Bulan lalu, Azizulhasni yang juga mesra disapa Jijoe membuat keputusan mengejut untuk tidak bersara tetapi memilih tidak lagi berlumba sepenuh masa dengan Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN) dan memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan Team Azizul.
Langkah itu disokong penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan yang meluluskan geran individu bernilai RM200,000 bagi menyokong perancangannya sehingga tahun 2026.