MERAIKAN peminat dengan sebuah konsert menjadi impian Kugiran Masdo sekian lama. Kini, hasrat tersebut bakal direalisasikan menerusi Konsert 10 Tahun Masdo yang akan berlangsung pada 30 Ogos depan.
Bakal berlangsung di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, Masdo yang dianggotai Ali, Asmawi dan Putu Ceri mahu menjadikan konsert tersebut sebagai hadiah terindah buat peminatnya.
Menurut vokalisnya, Ali, acara tersebut juga bakal melakar satu lagi sejarah istimewa dalam kamus kerjaya Masdo yang sebelum ini pernah teruk dikecam kerana menjual muzik retro.
“Kami nak sambut ulang tahun dengan mengadakan konsert ini dan insya-Allah akan muncul dengan album baharu.
“Ini hadiah selepas 10 tahun berada dalam industri. Perancangan ini sudah lama dan alhamdulillah akan direalisasikan.
“Semua ini hasil sokongan peminat yang setia menyokong kami sejak single pertama, Bunga,” katanya kepada HibGlam.
Menyingkap semula kembara seni mereka, Putu Ceri selaku pemain bass mengakui tidak pernah menyangka sambutan dan sokongan yang diterima sehingga hari ini.
Baginya, kejayaan dan kemasyhuran itu di luar jangkaan dan tidak pernah mengimpikannya.
“Kami tidak pernah menganggap kugiran yang dicipta ini akan berkekalan dan menjadi sebuah projek serius sebab bermula untuk mengisi masa lapang sahaja.
“Pada awalnya kami hanya mahu memiliki lagu dan album sahaja tetapi rezeki Tuhan siapa yang tahu, Masdo berjaya bertahan sehingga hari ini,” ujarnya.
Kecaman
Sementara itu, Asmawi yang merupakan gitaris pula bersyukur dipertemukan dengan Ali dan Putu Ceri yang akhirnya membuka laluan rezeki untuk mereka bertahan hingga kini.
“Sedekad ini, terlalu banyak rasa dan semuanya bercampur-baur. Masing-masing bina keluarga dengan hanya bermain muzik.
“Ada kenangan manis dan pahit, kami tempuh sahaja. Paling tak sangka, kami berjaya ‘terbang’ bawa muzik Masdo ke negara luar seperti Indonesia, Mongolia dan Jepun.
“Dalam tempoh 10 tahun juga, persahabatan kami semakin erat. Syukur mengenali mereka sebelum membentuk band,” ujarnya lagi.
Mengulas perihal kecaman dan kritikan yang diterima, Ali berkata, mereka sudah lali serta berlapang dada.
Dia bahkan mengakui tidak mudah untuk memuaskan hati pendengar apatah lagi selera muzik setiap orang berbeza.
“Awal dulu memang sukar nak terima tetapi lama-kelamaan sudah lali.
“Memang teruk kena kecam, kalau tak tahan koyak, jangan jadi anak seni.
“Telinga orang berbeza dan nak puaskan hati semua peminat muzik memang sukar.
“Jadi, hadap saja kalau orang kecam dan terima dengan lapang hati. Satu perkara kami buat, jangan layan semua kecaman sebab lagi dilayan makin teruk,” ujarnya yang pernah dilabel pemuzik tak mandi.
Duet
Berada di puncak, Masdo mengakui menerima beberapa tawaran hebat untuk menyanyikan lagu secara duet.
Asmawi bagaimanapun berkata, antara nama besar yang sudah berada dalam senarai ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Sebenarnya banyak tawaran luar biasa daripada individu hebat untuk bekerjasama cuma kami tak boleh dedahkan nama selagi belum sah.
“Kalau nak cakap tentang perancangan duet, tiada nama lain yang terlintas dalam fikiran kami selain Siti Nurhaliza.
“Siapa yang tak mahu berduet dengan Biduanita Negara? Memang nak tapi itu hanya angan-angan sahaja buat masa ini. Namun, andai jadi kenyataan satu hari nanti, apa salahnya,” jelas band yang popular dengan Pujaanku itu.