‘Jangan membabi buta, yang gila itu saya, bukan Fazura’

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Gara-gara menggunakan istilah ‘perempuan gila’ dalam temu bual bersama aktor Fattah Amin, pelakon Janna Nick dihambur caci maki netizen yang menyifatkan kenyataan itu sebagai sindiran terhadap aktres Fazura.

Bingung berdepan kecaman tidak berasas itu, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 30, menegaskan tiada niat menyindir sesiapa, jauh sekali melabelkan bekas isteri Fattah dengan panggilan sebegitu.

“Kalian kalau mahu serang orang pun jangan sampai membabi buta. Jangan sebab tak suka saya, kalian jadi berat sebelah dan cipta cerita yang langsung tak wujud.

“Kalian kata saya cakap Fazura perempuan gila. Yang gila itu saya! Memang sah saya yang gila, diakui pula tu,” katanya menerusi satu video penjelasan dalam TikTok.

Tambah pelakon filem Jemputan Ke Neraka itu, soalan tersebut sekadar mahu mendapatkan perspektif jujur daripada seorang lelaki yang sudah bercerai.

“Saya tanya soalan berdasarkan situasi. Untuk yang tak faham dan kata saya hina perempuan bercerai, hello, saya pun datang daripada keluarga berantakan.

“Ibu saya wanita yang diceraikan. Saya sangat faham perasaan perempuan ditinggalkan atau meninggalkan. Saya tidak akan, malah mustahil menghina seorang wanita dan ibu,” ujarnya.

Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Dini Schazman itu turut mengakui terma ‘perempuan gila’ agak kasar, namun digunakan bagi mencetus pemahaman mendalam terhadap sudut pandang lelaki yang mungkin menganggap bekas pasangan sebagai beban.

“Saya rasa ada lelaki yang lepas tangan selepas bercerai. Saya tanya, adakah mereka rasa bebas selepas perpisahan? Bebas daripada tanggungjawab, anak dan isteri?

“Bebas daripada wanita yang ‘menyerabutkan’ hidup mereka? Itu sebab saya guna istilah perempuan gila. Saya nak tahu dari kaca mata lelaki, adakah mereka anggap bekas isteri itu gila?,” soalnya.

Sedar terkhilaf, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) itu memohon maaf andai pendekatan soalan tersebut menyinggung mana-mana pihak.

Pun begitu, dia dalam masa sama menegaskan tugasnya sebagai pengacara menuntut keberanian mengupas isu panas.

“Saya tahu soalan saya mungkin kasar dan tidak sesuai untuk sesetengah pihak. Tapi itu tugas saya sebagai hos, bukan sengaja mahu cari pasal.

“Ada banyak soalan berhemah saya tanya tapi tiada siapa pun ambil peduli. Apa pun, saya mohon maaf jika soalan saya membuatkan sesiapa terasa hati,” jelasnya.

Ruangan komen video terbabit dipenuhi nasihat agar Jannah lebih berhati-hati ketika melontarkan soalan dalam program hiburan, bimbang ‘bola liar’ yang dibaling bakal terpantul tepat ke muka sendiri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |