TH laksana dam, korban melalui Adahi

6 hours ago 2

MEKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) akan melaksanakan urusan dam dan korban buat jemaah haji Malaysia melalui satu-satunya organisasi yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi tahun ini melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, sebelum ini, bagi urusan dam pihak TH melaksanakannya secara berasingan namun pada tahun ini dam dan juga korban akan dilakukan bersama The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (Adahi).

Menurut beliau, Adahi merupakan satu-satunya organisasi yang diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah untuk melaksanakan ibadat tersebut.

“Adahi telah dipilih kerana syarikat ini mempunyai fasiliti yang cukup termasuk mempunyai lapan kompleks untuk sembelihan, pembekuan dan pemprosesan daging.

“Daging-daging ini akan diedarkan kepada masyarakat di Mekah dan di Tanah Suci dan juga lebih 30 negara di seluruh dunia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Adahi di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Hisham menandatangani MoU tersebut dengan Penyelaras Am Adahi, Saad Abdul Rahman Al-Wabil.

Turut hadir, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Kewangan TH, Shamsul Bahar Shamsudin.

Mohd. Hisham berkata, haiwan korban yang disembelih untuk tujuan tersebut juga dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta diedarkan dengan baik.

“Proses penyembelihan, pemprosesan serta kebersihan akan melalui prosedur standard yang tinggi. Insya-Allah akan sampai tujuannya untuk membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia.

“Itu penting dari segi tadbir urus terutamanya kepada jemaah haji Malaysia. Kita hendak jemaah berasa yakin dengan apa yang telah mereka lakukan dan ini disambut oleh Adahi di sini,” katanya.

Beliau turur menasihatkan kepada jemaah haji untuk membuat bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI di mana urusan itu akan dilaksanakan oleh Adahi.

“Kita jangan terjebak dengan janji-janji untuk melaksanakan dam dan korban melalui harga yang lebih murah dan sebagainya kerana kita tidak pasti sama ada ibadah itu dilaksanakan dengan baik.

“Sebelum ini pernah kita dengar beberapa penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jadi kita mohon kepada jemaah haji menggunakan THiJARI untuk urusan berkenaan,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |