Aaron-Wooi Yik, Bonnie Olahragawan ASN 2024

4 hours ago 3

SUBANG JAYA – Pencapaian membanggakan sepanjang saingan musim lalu menyaksikan pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2024.

Pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 yang berlangsung hari ini, bekas juara dunia itu mengetepikan empat pencabar lain termasuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Wong Weng Soon (wushu), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Kejayaan Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi antara faktor yang membolehkan pasangan No.5 dunia itu diangkat sebagai Olahragawan Kebangsaan.

Selain pingat gangsa Sukan Olimpik 2024, mereka juga muncul juara kejohanan Korea Masters serta menjadi naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selain mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Penyampaian anugerah Olahragawan disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar manakala anugerah Olahragawan Paralimpik disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik tidak dapat hadir ke majlis penuh berprestij itu kerana sedang menggalas tanggungjawab negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand dan diwakili Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

BONNIE (kiri) dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan buat tahun kedua berturut-turut. – ISKANDAR ISHAK

Sementara itu, kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pula menjadi milik jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin atas pencapaian cukup cemerlang pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet kelahiran Serian, Sarawak itu bukan sahaja mempertahankan pingat emas dalam kategori 72 kilogram (kg), malah dia juga berjaya mencatat rekod dunia menerusi angkatan 232kg, memadam rekod lama miliknya 231kg.

Bonnie merangkul anugerah tersebut selepas mengetepikan saingan rakan seperjuangan termasuk Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Liek Hou (para badminton).

Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Bonnie meraih piala, piala iringan, sijil serta hadiah wang tunai RM20,000. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |