Pemandu Nissan Navara langgar pasangan suami isteri tiba di mahkamah

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pemandu Nissan Navara dalam kejadian tular merempuh motosikal pasangan suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Duta tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pendakwaan.

Tertuduh yang berusia 32 tahun itu tiba di mahkamah pukul 8.30 pagi diiringi anggota polis. Difahamkan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Plus berhampiran Plaza Tol Duta.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka pada buku lali.

Isterinya berusia 49 tahun yang juga pembonceng motosikal cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang mangsa sedang bergerak di lorong kiri sebelum dirempuh sebuah Nissan Navara dari arah kanan.

“Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal namun gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pemandu lelaki Nissan Navara, lelaki berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis pada hari sama sekitar pukul 6.55 petang.

Katanya, pemandu pacuan empat roda berkenaan ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Terdahulu, video kemalangan tersebut tular di laman Facebook selepas dimuat naik akaun ‘DashCam Malaysia’ dan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |