Tragedi kemalangan FRU berulang kembali setelah 35 tahun

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Kemalangan yang mengorbankan seramai lapan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi tadi, bagai mengimbau kembali tragedi yang sama pada 35 tahun lalu.

Pada 28 Februari 1990, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima perkhabaran sedih apabila sepasukan anggota FRU dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur mengalami kemalangan di Kilometer (KM) 31 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.

Ketika itu, kesemua mangsa dalam perjalanan menjalani latihan di Kuala Terengganu, Terengganu.

Kemalangan melibatkan 12 buah kenderaan tersebut telah mengorbankan 11 anggota FRU dari Trup 4B yang ketika itu berada dalam trak paling hadapan bersama empat buah kenderaan FRU lain.

Trak dinaiki kesemua mangsa dirempuh sebuah bas ekspres dari arah bertentangan dalam insiden itu.

Pertembungan kuat yang berlaku menyebabkan trak berkenaan terperosok ke bawah bas, sebelum bahagian badannya dihentam oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak daripada perlanggaran tersebut.

Lima anggota FRU telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur ketika mendapatkan rawatan akibat cedera parah.

Mereka yang terkorban adalah Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim, Lans Koperal Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd Lazim Admin, Konstabel Abd Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd Razali Bidin, Konstabel Mohd Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong.

Hari ini, Kosmo! melaporkan sekurang-kurangnya lapan anggota FRU maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pagi tadi.

Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.54 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Setakat ini mangsa yang disahkan maut seramai lapan orang. Mangsa yang dikeluarkan telah dihantar ke hospital.

“Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |