PETALING JAYA – Menteri Pertahanan (Menhan) telah mengadakan lawatan rasmi ke Turin, Itali pada 11 dan 12 Mei lalu bagi memantau dan mendapat gambaran menyeluruh berkaitan kemajuan projek perolehan dua buah pesawat bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Lawatan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diringi Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud itu membabitkan perolehan pesawat jenis ATR-72 Maritime Patrol Aircraft (MPA).

Perolehan pesawat itu merupakan salah satu daripada usaha untuk memperkukuhkan pertahanan maritim Malaysia.
Ia khususnya dari segi keupayaan melaksanakan Maritime Air Operation (MAO) dan Intelligence Surveillance and Reconnaissance (ISR).
Perolehan dua buah pesawat ATR-72 MPA daripada syarikat Leonardo S.p.A bermula daripada pemeteraian perjanjian perolehan ketika pameran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition yang ke-16 di Langkawi pada Mei 2023.
Berpandukan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), TUDM memerlukan enam buah MPA menjelang tahun 2035 yang mana dilaksanakan menerusi tiga fasa.

Kelulusan perolehan dua buah pesawat MPA Fasa 1 ini telah diperoleh di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 dengan peruntukan sebanyak RM899 juta.
Sebagai sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan membolehkan Malaysia menjadi gerbang penjalin antara kedua-dua rantau Asia-Pasifik dan Lautan Hindi.
Perolehan ATR-72 MPA penting bagi membolehkan TUDM mempertingkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) melalui rondaan udara berterusan di laluan air strategik di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Semasa lawatan rasmi tersebut, Menhan turut berpeluang mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan Leonardo S.p.A bagi meneroka ruang kerjasama bersama baharu dengan syarikat berkenaan.
Kunjungan Mohamed Khaled ke Itali itu juga bagi menzahirkan komitmen dan tanggungjawab Kerajaan dalam memastikan projek-projek bernilai tinggi disiapkan mengikut jadual, spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan.

Lebih penting juga, lawatan itu turut mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Itali.
Pada masa sama, ia selaras dengan Tonggak Strategi Pertahanan Ketiga iaitu “Perkongsian Berwibawa” yang menekankan keperluan negara untuk menjalinkan hubungan pertahanan antarabangsa bagi
memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat.-KOSMO! ONLINE