Regu, berpasukan mampu cipta sejarah

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) optimis acara regu dan berpasukan bakal menampilkan persembahan terbaik di Piala Asia 2025 susulan prestasi meyakinkan yang dipamerkan Malaysia setakat ini.

Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, dua daripada empat sasaran final berjaya dicapai apabila skuad negara mara ke pentas akhir acara kuadran dan beregu sekali gus menampilkan perkembangan positif skuad negara secara keseluruhan.

“Alhamdulillah, dua daripada empat sasaran final berjaya dicapai. Kita akhirnya berjaya menjuarai acara kuadran buat pertama kali, walaupun sebelum ini belum pernah kita sertai secara serius.

“Cuma dalam acara double, kita kui masih banyak ruang perlu diperbaiki. Beberapa kesilapan tidak sepatutnya berlaku, terutama pada mata-mata genting.

“Namun, saya tetap bangga kerana pemain sudah berikan segalanya. Cuma belum rezeki memihak kepada pasukan negara,” katanya.

Impian beregu negara untuk merangkul kejuaraan tidak kesampaian selepas Noraizat Mohd. Nordin dan Aidil Aiman Azwawi tewas 1-2 kepada Thailand dalam final penuh mendebarkan semalam.

Sebaliknya, skuad kuadran negara mencipta sejarah apabila menjulang kejuaraan sulung selepas menewaskan Jepun 2-0 di hadapan peminat tanah air semalam.

Mengulas lanjut, Sumali turut mengiktiraf kekuatan pasukan-pasukan utama seperti Thailand, Indonesia dan India yang menurutnya berada pada tahap elit, namun menegaskan Malaysia kini semakin hampir menyaingi mereka.

Tambahnya, peningkatan dalam acara kuadran juga menjadi petunjuk positif hala tuju program pembangunan skuad negara.

“Dari awal lagi saya letakkan fokus pada acara kuadran dan Alhamdulillah, nampaknya strategi itu berhasil,” jelasnya.

PSM dijangka mengadakan sesi post-mortem menyeluruh selepas tamat dua lagi kejohanan penting iaitu Piala Raja Thai pada Julai dan Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok hujung tahun ini.

CAPTION

KEJAYAAN skuad kuadran muncul juara membakar semangat Malaysia untuk mengungguli acara regu dan berpasukan Piala Asia 2025. – SYAKIR RADIN

Read Entire Article
Pertanian | | | |