IPOH – Sebanyak 11,087 kes penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) dilaporkan berlaku di seluruh negeri ini sehingga 3 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, daripada jumlahitu, sebanyak 9,998 kes iaitu 90.2 peratus merupakan kes yang berlaku secara sporadik manakala 1,089 kes (9.8 peratus) adalah berkaitan wabak.
“Lima daerah yang mencatatkan jumlah kes tertinggi ialah Kinta dengan 2,911 kes (26.3 peratus), diikuti Manjung dengan 1,546 kes (13.9 peratus).
“Ia diikuti Larut, Matang dan Selama dengan 1,358 kes (12.2 peratus), Kuala Kangsar dengan 874 kes (7.9 peratus) serta Perak Tengah dengan 861 kes (7.8 peratus),” katanya di sini hari ini.
Pada masa sama, Sivanesan berkata, sebanyak 317 wabak telah dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-18 (ME 18/2025).
Katanya, daripada keseluruhan wabak itu, 180 wabak berlaku di tadika, tabika atau prasekolah (56.8 peratus), 70 di taska (22.1 peratus), 35 di sekolah rendah atau sekolah menengah (11 peratus) dan 21 di rumah persendirian (6.6 peratus)
“Manakala enam di rumah pengasuh persendirian (1.9 peratus), empat (4) di Kampung Orang Asli (1.3 peratus) dan satu (1) di rumah kebajikan (0.3 peratus),” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 4,766 premis telah diperiksa di seluruh negeri Perak melibatkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 267 premis (5.6 peratus) telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], manakala 39 premis (0.8 peratus) membuat penutupan secara sukarela.
“Penutupan premis memberi ruang untuk kerja-kerja sanitasi menyeluruh dan memutuskan rantaian jangkitan secara efektif,” katanya. – KOSMO! ONLINE