‘Kecil hati dengan negara sendiri, jadi saya kerja di Indonesia’

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Merajuk dengan industri muzik tanah air, penyanyi Atilia Haron pernah membawa diri ke Indonesia untuk mengembangkan kerjaya di sana.

Menurut Atilia atau nama lengkapnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 51, industri muzik Malaysia seakan-akan tidak dapat menerima muzik yang dibawakannya.

“Saya pernah berkecil hati dengan industri muzik di Malaysia. Saya rasa tak cukup dihargai di negara sendiri. Mungkin kerana lagu-lagu saya lain sikit. Muzik jazz tak dimainkan di radio di sini.

“Jadi saya banyak bekerja dengan pengkarya dari Indonesia. Saya buat album ketiga di sana dan lagu saya berada dalam carta muzik di sana.

“Kerjaya saya bergerak lebih baik di sana. Saya juga dapat menyanyi bersama Malik & D’ essentials dan Sore. Saya juga sertai festival muzik seperti Java Jazz,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Biarpun kerjaya muzik lebih cemerlang di negara jiran, namun kata pelantun lagu Kekanda Adinda itu dia tetap memilih untuk tinggal di Malaysia.

“Sekarang saya percaya rezeki ada di mana-mana sahaja. Saya sayangkan Malaysia. Dan saya sayangkan bisnes studio yoga saya.

“Sudah 10 tahun saya usahakan. Biarpun bisnes ini tidak memberikan pulangan yang lumayan tetapi buat saya rasa gembira.

“Memang ada tawaran untuk menetap di Indonesia dan menyanyi di sana, tetapi saya tolak. Sekarang pun usia saya telah mencecah 51 tahun. Saya hanya ingin fokus dengan kerjaya di Malaysia sahaja,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Atilia bakal mengadakan konsert bersama ibunya sendiri iaitu penyanyi legenda, Salamiah Hassan pada tanggal 16 Ogos 2025 bertempat di Plenary Theatre KLCC. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |