Dua penuntut China didakwa tipu culik dapatkan wang tebusan RM2.9 juta.

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Dua penuntut warga China didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu ibu kepada seorang daripada penuntut itu dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, yang merupakan sebuah universiti di Singapura itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduham dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan kedua-dua lelaki itu didakwa menipu dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Yingxi telah diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan gum tape (pita pelekat) berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang dengan air.

Kedua-dua tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta ibu kepada Yingxi memasukkan duit tebusan sebanyak lima juta Chinese Yuan (bersamaan RM2.9 juta) ke dalam satu akaun di China, yang mana kesemua perbuatan itu adalah lakonan sahaja bagi mendorong Zhiwen menyerahkan wang tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, antara pukul 11.44 pagi hingga 9.15 malan, 2 Mei lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Seksyen 511 berdepan hukuman penjara tidak lebih setengah daripada tempoh yang lama sekali ada diperuntukkan di bawah Seksyen 420, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lelaki terbabit juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama, mengikut Seksyen 417
Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Azrul kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Semasa prosidkng, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |