Uniform lama, harapan baharu: Kerjasama FedEx Malaysia dan KTJ perkasa komuniti

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Di sebalik pakaian seragam lama FedEx yang biasanya berakhir di tapak pelupusan sampah, tersingkap kisah perubahan hidup wanita tempatan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FedEx Malaysia dengan kerjasama Komuniti Tukang Jahit (KTJ), sebuah perusahaan sosial memfokuskan wanita di Lembah Klang.

Menerusi kolaborasi tersebut yang bermula tahun lalu, sebanyak 545 uniform FedEx Malaysia, terdiri daripada 362 baju dan 183 seluar dikitar tinggi oleh KTJ kepada 2,000 beg kitar semula boleh lipat serta 1,500 beg kecil serbaguna.

Kesemua hasil kraftangan ini kemudiannya diagihkan kepada pelanggan dan kakitangan FedEx Malaysia sendiri, tanda penghargaan dan kenangan pada sambutan Hari Raya yang lalu.

Setiap produk bukan sahaja cantik dan bersifat komersial, malah mempunyai identiti sendiri kerana disertakan pelekat dengan paparan wajah serta nama tukang jahit yang membuatnya – satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap hasil kraftangan mereka.

Inisiatif ini bukan sekadar memberi ‘kehidupan kedua’ kepada tekstil lama, malah mengalihkan sisa daripada tapak pelupusan dan paling penting, menyuntik semangat berdikari dan peluang pendapatan kepada suri rumah di bawah KTJ.

Dengan menyasarkan pembangunan komuniti melalui inisiatif kitar tinggi, FedEx dan KTJ bersama-sama mencipta model kolaborasi unik yang tidak hanya mengurangkan kesan operasi syarikat kepada alam sekitar, malah menghasilkan impak sosial yang positif dan turut memperkasakan komuniti.

Noor Nafeda dan Sue Yii menceritakan proses penghasilan beg kitar semula menggunakan uniform lama.

Dari suri rumah kepada ‘artisan’

Ramai ahli komuniti KTJ merupakan suri rumah dari golongan rentan, dengan sebahagian daripadanya hilang pekerjaan ketika banyak perniagaan gulung tikar, atau terpaksa mengecilkan operasi akibat pandemik Covid-19 hanya beberapa tahun yang lalu.

Daripada masa bekerja yang tidak menentu, wanita-wanita ini kini mampu menentukan sendiri waktu yang dihabiskan untuk keluarga dan anak-anak, serta waktu yang dimanfaatkan untuk mencari pendapatan tambahan menerusi model perniagaan KTJ.

Artisan KTJ, Suganthi Devi A/P Narasiah berkata, dia menyertai KTJ pada tahun 2022 dalam keadaan kehilangan kerja dan tekanan kewangan, sebelum beroleh bayaran pertama RM200 untuk sebulan hasil kerja menjahit topeng muka yang membawa harapan baharu buatnya.

“Nilai ini mungkin dilihat kecil bagi sesetengah orang, namun ia sangat bermakna buat saya,” katanya dalam sesi bersama media yang diadakan di Menara LGB, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dia kini beroleh sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan, semuanya menerusi kerja menjahit yang dibuat dari keselesaan rumah sendiri.

“Walaupun komuniti KTJ sebenarnya amat jarang berjumpa, hubungan kami sangat rapat. Kebanyakannya kami mengambil sendiri barangan untuk dijahit dari KTJ dan menyiapkannya di rumah sebelum dihantar semula.

“Bagaimanapun kami sentiasa berhubung menerusi WhatsApp, panggilan video dan sebagainya untuk berbincang mengenai teknik jahitan, serta proses yang boleh menyiapkan produk dengan lebih cepat dan efisien. Mereka yang lebih mahir akan menjadi jurulatih kepada rakan-rakan yang lain, mewujudkan rantaian sokongan dalaman yang saling membantu.

“Ramai dalam kalangan kami bersua muka buat pertama kali hanya ketika sambutan ulang tahun ke-5 KTJ dan majlis iftar baru-baru ini. Meskipun baru berjumpa, kami bagaikan sudah lama berkenalan ibarat satu keluarga besar,” katanya.

Seorang lagi artisan KTJ, Noor Nafeda Che Ani berkata, bersama KTJ, pengurusan masa sebagai ibu sambil turut memainkan peranan memperkukuh ekonomi keluarga dirasakan lebih mudah.

“Sebelum ini saya memang kerja menjahit, namun meskipun masa bekerja dari 9 hingga 5, sampai pukul 7 malam pun saya bekerja menyiapkan tugasan.

“Dengan KTJ, selepas menguruskan anak-anak, saya boleh menyiapkan kerja jahitan mungkin dalam tiga jam sehari, adakalanya masa terluang selama 15 minit pun amat berharga bagi kami untuk menyiapkan kerja.

“Kalau mahu lebih pendapatan, kami boleh membuat lebih banyak jahitan. Ramai kenalan dalam KTJ yang memiliki sasaran kewangan jangka pendek seperti mahu melancong, beli barangan kemas dan sebagainya, kami boleh berusaha ke arah itu,” ujarnya.

Tien Long menggalakkan penglibatan kakitangan FedEx Malaysia dalam aktiviti kelestarian yang dilihat mampu memberikan makna tersendiri dalam kehidupan seharian.

Sokongan korporat

Sementara itu, Pengasas KTJ, Yap Sue Yii berkata, pihaknya bermula dari lima ahli sekitar lima tahun lalu, sebelum jumlah mereka berkembang kepada kira-kira 80 orang.

Jelasnya, pihaknya memfokuskan kepada kerja kraf melibatkan tekstil dan sebahagian besar daripada pelanggannya adalah daripada sektor korporat, ketika banyak penumpuan diberikan kepada faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ketika ini.

“Buat masa ini operasi KTJ terhad di Lembah Klang kerana kami memerlukan tukang jahit untuk mengambil sendiri bahan jahitan, namun memang kami menyimpan hasrat untuk menyokong kaum wanita dan suri rumah di negeri-negeri lain,” ujarnya.

Menurut Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long, kerjasama dengan KTJ merupakan sebahagian daripada strategi kelestarian syarikat yang melangkaui sasaran pengurangan pembebasan karbon untuk menyampaikan impak yang bermakna buat komuniti.

“Dapat bertemu dan mendengar sendiri cerita daripada komuniti KTJ menjadikan kerjasama ini lebih bermakna.

“FedEx komited kepada sasaran operasi neutral karbon menjelang 2040, dan kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian seperti menanam pokok, serta mewujudkan kebun sayur di kawasan Lembah Klang untuk komuniti setempat.

“Ramai kakitangan FedEx Malaysia teruja untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini dan meskipun terpaksa mengorbankan waktu cuti hujung minggu, saya lihat kebanyakannya hadir bekerja dengan membawa semangat baharu selepas itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |