Twincity Marathon 2027 sasar penyertaan komuniti setempat

13 hours ago 7

CYBERJAYA- Twincity Marathon 2027 yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya dan Cyberjaya pada Januari tahun depan menyasarkan penyertaan lebih ramai komuniti setempat selain daripada penglibatan peserta tempatan dan antarabangsa.

Dalam konteks ini, penganjuran Twincity Marathon 2027 bukan berkonsepkan larian semata-mata, sebaliknya menawarkan pelbagai acara sampingan termasuk Twin Cultures Festival 2027 yang dijangka menarik penyertaan komuniti setempat.

Menurut Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd., Mohd. Bukhari Ismail, penganjuran Twincity Marathon yang memasuki edisi ke-12 menetapkan sasaran menjadikan acara berkenaan sebagai sebuah festival untuk warga setempat khususnya.

“Sebenarnya, kita punya impian untuk menjadikan acara itu sebagai sebuah festival. Meskipun larian dijangka berlangsung pada Sabtu dan Ahad, namun sepanjang minggu tersebut, pelbagai acara sudah berlangsung.

“Selain penyertaan peserta untuk larian, kami mahu orang ramai membanjiri Putrajaya untuk menyertai program lain sempena acara itu termasuk menghadiri Twin Cultures Festival 2027,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Terdahulu, acara larian antarabangsa berprestij, Twincity Marathon 2027 yang bakal pada Januari tahun depan menyasarkan penyertaan seramai 27,000 peserta dalam dan luar negara berbanding hanya 21,000 pelari pada edisi tahun ini.

Sasaran baharu sekali gus berupaya memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi acara antarabangsa, budaya, gaya hidup dan pelancongan selari dengan visi Tahun Melawat Malaysia 2027.

Mengulas lanjut, Mohd. Bukhari berkata, pihaknya juga membuka peluang kepada pemain industri termasuk peniaga setempat untuk berkolaborasi pada penganjuran kali ini.

“Kita mahu acara itu dapat menghubungkan peserta dan peniaga setempat yang mana sebagai contoh mereka ditawarkan diskaun tertentu apabila membuat pembelian.

“Biasanya peserta akan datang lebih awal dan berkampung hampir seminggu di Putrajaya dan Cyberjaya untuk latihan.

“Jadi, jika peniaga menyertai kolaborasi itu, manfaat dapat diterima secara menang-menang apabila peserta akan membuat pembelian di situ,” katanya.

Katanya, sebelum ini, acara tersebut berjaya menarik penyertaan pelari daripada lebih 30 negara termasuk Australia, Brunei, China, Jepun, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Jelasnya, acar kali ini juga disifatkan lebih berskala besar apabila menghubungkan elemen larian, budaya, teknologi, pelancongan dan gaya hidup.

“Kami percaya gabungan Twincity Marathon dan Twin Cultures Festival mampu menjadi sebuah acara menarik serta membuka peluang lebih besar kepada industri pelancongan, budaya, gaya hidup dan ekonomi kreatif.

“Jadi, kami menyasarkan lebih 150,000 pengunjung sepanjang festival selain penyertaan peserta dari lebih 30 negara, lebih 250 vendor serta anggaran impak ekonomi dan pelancongan melebihi RM40 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |