TVB perkukuh kehadiran di Malaysia

6 hours ago 2

EKOSISTEM siaran televisyen tradisional kini berdepan tekanan hebat akibat perubahan mendadak dalam tabiat hiburan pengguna, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Dahulu, televisyen menjadi medium utama hiburan keluarga, kini persaingan datang dari pelbagai arah termasuk penstriman dalam talian, platform media sosial, permainan video, dan kandungan yang dihasilkan pengguna sendiri.

Stesen penyiaran terkemuka Hong Kong, TVB yang ditubuhkan sejak 1967 turut merasai bahang tersebut, dan kini agresif melaksanakan anjakan paradigma untuk kekal relevan, bukan sekadar menerbitkan serta melesenkan kandungan semata-mata.

Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Pengurus Besar TVB International Company Limited, Desmond S.H. Chan yang mebentangkan strategi TVB untuk memanfaatkan kekuatan sedia ada termasuk katalog harta intelek (IP), barisan artis dan keupayaan produksi yang kukuh untuk melangkah ke ruang hiburan baharu yang lebih interaktif serta bersifat digital.

Ini termasuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi untuk platform penstriman, serta melesenkan IP drama kepada industri permainan video.

Kosmo!: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai TVB?
Desmond: TVB merupakan penyiar televisyen percuma pertama di Hong Kong. Sejak hari pertama pelancarannya, kami telah telah menghasilkan banyak program termasuk drama, berita, dokumentari, permainan, rancangan varieti dan sebagainya.

Kini kami menghasilkan lebih 20,000 jam kandungan setiap tahun. Disebabkan jumlah kan­dungan yang besar, pada perte­ngahan tahun 1970-an, kami menubuhkan TVB International untuk mengedarkan kandungan ini ke luar negara. Jadi kami telah menjalankan perniagaan pengedaran selama hampir 50 tahun.

Dengan melaksanakan perniagaan pengedaran kandungan untuk tempoh berdekad lama­nya, kami mengenal pasti beberapa wilayah sebagai pasaran utama dan Malaysia salah satu daripadanya selain Singapura, Amerika Syarikat, Kanada, Australia serta Vietnam.

Mengapa Malaysia?
Dari segi populasi, Malaysia hampir sama dengan Hong Kong. Kami mempunyai lebih kurang tujuh juta orang Cina dan Malaysia juga memiliki tujuh juta orang Cina.

Ramai orang Cina bercakap Kantonis atau Mandarin. Dan mereka suka TVB, mereka suka kandungan kami, mereka suka artis kami. Mereka mula menonton TVB sejak kecil lagi. Saya selalu bertanya orang Cina di sini kenapa bahasa Kantonis mereka begitu fasih? Selalunya jawapannya adalah kerana menonton TVB.

Kami juga melihat ramai anak muda yang berbakat di Malaysia. Mereka menyanyi dan beraksi dengan baik, apa yang mereka kurang ialah platform untuk mempamerkan kemahiran. Kami percaya TVB boleh menyediakan platform ini kepada mereka.

Jadi kami mula terlibat untuk mengambil artis di sini. Juga dari segi bajet penerbitan, kos di sini jauh lebih murah berbanding di Hong Kong, dengan kualiti yang setan­ding. Jadi kami fikir Malaysia lokasi yang baik untuk kami menghasilkan kandungan tempatan, dan untuk meluaskan pengaruh.

Apa peranca­ngan TVB untuk Malaysia?
Berdasarkan sta­tistik dan pengalaman kami, program drama paling menarik minat penduduk di sini, jadi ia antara ke­utamaan. Antara drama menarik yang bakal dilancarkan termasuk The Queen of News musim kedua, The Queen of Castle dan Prism Breaker.

Kami juga mempunyai program muzik dan antara yang sangat berjaya ialah Midlife Sing and Shine. Idea program ini ialah ramai mahu menjadi penyanyi, namun atas sebab berbeza, impian itu tidak mampu direalisasikan ketika muda mungkin kerana bantahan ibu bapa, pelajaran atau kerjaya. Sekarang mereka telah masuk ke pertengahan umur dan kami ingin memberi satu lagi peluang untuk merea­lisasikan impian ini.

Kami merekrut peserta dari Malaysia dan wilayah lain untuk menyertai pertandingan ini di Hong Kong dan musim ini, peserta dari Malaysia, Rax Teh mencipta kejayaan mengagumkan.

Dia sangat popular di Hong Kong dan kami telah mengambilnya sebagai artis kami.
Julai ini merupakan bulan yang sibuk bagi beliau, dengan penampilan di beberapa konsert di Hong Kong.

Bagaimana anda melihat industri penyiaran hari ini?
Tabiat menonton dan cara berhibur telah berubah, ini cabaran yang perlu kami tangani sebagai penyiar televisyen tradisional serta pembekal kandungan.

Bagi TVB, kami mempunyai empat kekuatan unik. Pertama ialah IP, kerana kami telah menghasilkan kandungan sejak 57 tahun lalu dan akan terus menghasilkan kandungan pada masa hadapan.

Kedua ialah pengedaran global dan rangkaian promosi mantap, kerana kami telah menjalankan perniagaan pengedaran selama hampir 50 tahun. Ketiga ialah kekuatan artis dan terakhir, ke­upayaan penerbitan.

Dengan empat kelebihan ini, kami mampu mengembangkan penawaran, antaranya melesenkan IP drama ke dalam per­mainan video, permainan papan, dan live action role play (LARP), termasuk dengan penglibatan artis kami yang popular.

Kami juga tidak mengabaikan media sosial. TVB International telah memulakan saluran YouTube sejak beberapa tahun lalu dan ia amat berjaya, dengan 90 juta pengguna aktif bulanan.

Apa sasaran TVB untuk pasaran Malaysia?
Perkara yang saya fokuskan ialah mengenai pelesenan IP. Secara tradisinya, kami hanya me­lakukan pelesenan kandungan. Jadi kami melesenkan program dari Hong Kong kepada platform tempatan, dan mungkin tambah sari kata. Itu sahaja.

Namun banyak mod hiburan baharu telah muncul dan kami perlu melibatkan diri dengan golongan muda dan orang ramai. Saya ingin bekerjasama dengan pemain dalam industri hiburan yang berbeza dan kemudiannya menggunakan IP kami untuk mencipta mod hiburan baharu untuk penduduk di sini.

Jadi saya perlu tahu minat orang muda di sini.

Kami juga ingin meneroka penerbitan drama tempatan di sini. Seperti yang saya katakan, bajet di sini sangat menarik. Kami mungkin melakukannya sendiri atau dengan rakan kongsi tempatan di sini, termasuk Astro. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |