Tiada semangat kejiranan punca ramai mereput di rumah

22 hours ago 6

PETALING JAYA – Insiden kematian ahli keluarga atau jiran tanpa disedari yang sering berlaku kebelakangan ini semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, perkara itu menunjukkan bahawa struktur sosial, jaringan kekeluargaan dan budaya kejiranan dalam masyarakat kita semakin rapuh.

Beliau berkata, budaya ‘jangan jaga tepi kain orang’ semakin berakar sehingga kita menjadi masyarakat yang semakin kurang cakna dan tidak peduli.

“Hubungan kekeluargaan dan kejiranan semakin longgar akibat tekanan kerjaya, desakan ekonomi dan kesibukan hidup.

“Lebih membimbangkan, walaupun kita hidup dalam era teknologi komunikasi yang canggih, masyarakat tetap gagal memanfaatkannya untuk membina hubungan yang bermakna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan agar memberikan keutamaan agenda pembangunan dan kesejahteraan keluarga serta komuniti sebagai komponen utama dalam hala tuju pembangunan ekonomi dan sosial negara.

“Pembangunan negara yang sebenar tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi mesti berpaksikan kesejahteraan rakyat, keutuhan institusi keluarga dan kekuatan jaringan sosial dalam masyarakat.

“Polisi dan agenda mesra keluarga mesti menjadi dasar rentas kementerian yang diterapkan dalam semua sektor dan peringkat pelaksanaan,” katanya.

Katanya, rakyat memerlukan hala tuju pembangunan yang menyatukan ekonomi, sosial dan kesejahteraan keluarga sebagai teras kemajuan negara yang seimbang.

“Bajet mesra keluarga dan komuniti mesti diberi penekanan, dengan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk membina kemudahan, program dan sistem sokongan yang benar-benar membantu memperkukuh institusi keluarga serta membina masyarakat yang penyayang dan cakna.

“Saya juga menyeru supaya kempen kasih sayang terhadap ibu bapa, adik-beradik dan keluarga diutamakan dalam siaran televisyen, media sosial dan semua saluran komunikasi arus perdana,” jelasnya.

Beliau berkata, kempen itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan kreatif bagi menyuburkan semula budaya menghargai keluarga dan membina rasa tanggungjawab bersama.

“Pemimpin masyarakat setempat juga mesti tampil lebih proaktif dalam membina semula jaringan sosial yang kukuh di peringkat komuniti.

“Mekanisme sosial yang positif perlu diwujudkan dengan lebih meluas bagi memperkukuh sistem sokongan keluarga dan kejiranan agar tiada siapa yang terpinggir atau terputus hubungan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita dan anak perempuannya ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, Isnin lalu.

Sehari selepas penemuan itu, orang ramai dikejutkan dengan berita penemuan mayat tiga sekeluarga di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban, Negeri Sembilan yang daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |