TAIPEI – Taufan Danas membadai pantai barat Taiwan awal hari ini, menyebabkan dua orang terkorban dan beratus-ratus penduduk cedera, manakala hampir 400,000 isi rumah terputus bekalan elektrik, kata pihak berkuasa.
Ribut itu membawa tiupan angin ‘kemusnahan’ pada kelajuan 222 kilometer sejam selepas tiba di daratan di barat daya Taiwan lewat semalam, kata Pentadbiran Kaji Cuaca Pusat.
“Ini kali pertama dalam rekod taufan tiba di daratan di daerah Chiayi, ia adalah laluan yang sangat luar biasa,” kata seorang ahli meteorologi Taiwan.
Ribut itu bergerak ke arah utara dan meninggalkan Taiwan hari ini tetapi hujan lebat belum berhenti.
Sekurang-kurangnya 491 orang dirawat kerana kecederaan, demikian menurut Agensi Bomba Kebangsaan.
Seorang lelaki berumur 60 tahun meninggal dunia selepas gangguan bekalan elektrik di rumah menyebabkan mesin sokongan hayatnya berhenti berfungsi dan seorang lelaki berusia 69 tahun terbunuh dihempap pokok tumbang ketika memandu, kata agensi sama.
Ribut kuat itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh Taiwan, menjejaskan sekitar setengah juta isi rumah, katanya. Hampir 400,000 kediaman masih tiada bekalan elektrik setakat pagi tadi.
Taufan Danas membawa lebih 500 milimeter hujan di selatan Taiwan sepanjang hujung minggu lalu.
Hampir 3,500 orang dipindahkan dengan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pergunungan sekitar bandar pelabuhan Kaohsiung, selatan Taiwan, kata jabatan bomba.
Sebanyak 30 penerbangan antarabangsa dari Taiwan dibatalkan hari ini.
Taiwan lazimnya menghadapi ribut tropika yang kerap dari Julai hingga Oktober setiap tahun. – AFP