‘Tak sangka Allah lorongkan rezeki’ – Kisah Dadali bakal difilemkan

12 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Julung kali beraksi di pentas mega di Malaysia selepas 16 tahun ditubuhkan, Konsert Dadali Sebuah Kisah Live In Kuala Lumpur menjadi medan buat band popular Indonesia itu mengumumkan bakal tampil dengan sebuah filem.

Vokalisnya, Dyrga atau nama sebenar Octa Dyrga Nala Prana, 43, berkata, naskhah menggunakan judul lagu mereka, Sebuah Kisah mengangkat cerita perjuangan serta jatuh bangun sejak Dadali ditubuhkan pada 2009.

“Terima kasih atas sokongan kalian. Dadali pertama kali datang ke negara ini pada 2012 untuk melancarkan album baharu.

“Tidak sangka selepas lebih sedekad Allah lorongkan rezeki untuk kami bikin konsert di Malaysia. Mungkin akan ada Volume 2.

“Lebih istimewa, Dadali juga akan tampil dengan filem mengenai kumpulan ini dengan judul Sebuah Kisah,” katanya ketika tampil di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.

Selain Dyrsa, barisan anggota lain ialah Boim (gitaris), Dendi ( keyboard), Hendi ( bass), Obot (dram) dan Rickarjd (gitaris melodi).

Membawakan 18 dendangan termasuk Mendua, Di Saat Aku Tersakiti dan Di Saat Patah Hati, Dadali turut memanaskan pentas dengan lagu Dikir Rambong nyanyian asal kumpulan tempatan, Kapilla.

Bagai dijanjikan, Dadali turut mengundang rakan seperjuangan, Ronnie Hussein berkongsi pentas dengannya membawakan lagu Disaat Aku Mencintaimu.

Beraksi hampir dua jam, band asal Bogor itu meraih sokongan sekitar 1,600 penonton yang turut sama menyanyi dari awal pentas dibuka tepat pada pukul 9 malam.

Tidak lekang dengan ucapan terima kasih atas sokongan ramai, band yang digelar Raja Lagu Galau itu mengakui penerimaan peminat di Malaysia cukup bermakna buat mereka.

Konsert Dadali Sebuah Kisah Live In Kuala Lumpur dianjurkan Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media, dan BIZCreations dengan sokongan Tourism Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |