MELAKA – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan orang kurang upaya (OKU) palsi serebrum berusia sembilan tahun sehingga mangsa meninggal dunia, sejak April lalu.
Tertuduh, Manuel Pangawat, 36, yang berasal dari Sabah dan Easta Masa Pengala, 40, warga Indonesia, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Rutnaomi Renny berusia sembilan tahun telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan antara penghujung April sehingga 23 Jun 2025 di sebuah rumah di Jalan Kota Laksamana 1/5, Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira kematian telah berlaku terhadap mangsa, selain kanak-kanak itu adalah anak kandung tertuduh wanita hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Hujahnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihaknya mencadangkan agar jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh berserta syarat tambahan.
Sementara itu, Manuel yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan dia perlu bekerja bagi melangsaikan hutang, manakala tertuduh wanita memberitahu jenazah anaknya belum dikebumikan dan masih di Jabatan Forensik Hospital Melaka.
Tambahnya, dia juga terpaksa meminta adik sepupunya untuk menjaga anak keduanya hasil perkahwinan dengan Manuel yang berusia tiga tahun.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin sebanyak RM15,000, manakala isterinya RM20,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula 4 Ogos depan bagi serahan laporan bedah siasat, laporan kimia serta lantikan peguam.
Kosmo! pada 26 Jun lalu melaporkan seorang kanak-kanak OKU berusia sembilan tahun meninggal dunia disyaki akibat didera bapa tirinya di Taman Kota Laksamana.
Kejadian terbongkar selepas pihak hospital membuat laporan pada pukul 10.15 pagi memaklumkan menerima pesakit seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri yang telah dihantar oleh bapa tirinya.
Pemeriksaan dilakukan mendapati mangsa mengalami patah kaki kiri dan terdapat kesan lebam di bahagian kepala serta badan disyaki didera sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 pagi.- KOSMO! ONLINE