MELAKA – Seorang ibu empat anak dijatuhi hukuman penjara 41 bulan, manakala suaminya 17 bulan selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan melupuskan harta curi termasuk barangan sebuah inap, di sini, April lalu.
Tertuduh, Jasila Jamaruddin, 31, dan Muhammad Aliff Aiman Zaini, 24, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
Mengikut pertuduhan di hadapan Hakim Haderiah Siri, Jasila yang juga hamil lima bulan didakwa telah melakukan rompak dengan cara merampas seutas rantai tangan bernilai RM12,000 milik seorang wanita berusia 42 tahun kira-kira 11 pagi di hadapan sebuah kafe di Bandar Baru Sungai Udang, 28 Mei 2025.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan sedang hamil anak kelima, selain mempunyai empat anak kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Haderiah kemudian menetapkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu 10 Jun 2025.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, tertuduh, Muhammad Aliff mengaku bersalah atas pertuduhan menerima dan melupuskan harta curi iaitu seutas rantai tangan emas di sebuah kedai pajak gadai di dalam daerah Hulu Langat, Selngor kira-kira pukul 4 petang, 28 Mei 2025.
Bagi perbuatan itu Muhammad Aliff dijatuhi hukuman penjara setahun mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.
Pasangan itu turut didakwa di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani atas pertuduhan secara bersama-sama telah mencuri pelbagai barangan sebuah rumah inap termasuk selimut, seterika, cerek, dan bantal bernilai RM1,100.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1 pagi di sebuah unit kediaman di Atlantis Residence Tower Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 26 April 2025.
Pasangan itu juga membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara lima bulan dari tarikh ditangkap iaitu 4 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE