KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan pertama memberitahu dia sendiri melihat dua rakan sekerjanya meninggal dunia yang mana masing-masing ditetak dan ditembak di kepala dalam kejadian tragis serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor dua tahun lalu.
Koperal Mohd. Khairul Azhar Abbi Paisa, 25, berkata Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak pada wajah, mulut serta telinga manakala Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said ditembak di bahagian kepala.
Menceritakan semula kejadian pada 17 Mei 2024 itu, saksi itu berkata pada hari kejadian dia bersama rakannya iaitu Koperal Mohd. Hasif Roslan sedang melakukan ronda cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Ulu Tiram.
“Bagaimanapun pada pukul 2.30 pagi kami menerima maklumat dan arahan daripada Ketua Polis Balai (OCS) supaya balik ke balai polis kerana berlaku serangan.
“Setibanya di hadapan balai dan turun dari kenderaan, saya terdengar Lans Koperal Aznel (Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh) menjerit meminta kami berundur ke hadapan balai dan memaklumkan bahawa Konstabel Azza Fahmi telah ditetak.
Saya kemudian melihat Azza Fahmi terbaring di antara kawasan berek dan bangunan balai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan pada wajah dari telinga hingga ke mulut,” kata saksi itu pada pemeriksaan utama pendakwaan dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis.
Saksi itu berkata beliau dan Muhamad Syafiq kemudian diarahkan oleh Mohd. Aznel untuk ke bahagian belakang balai bagi meninjau keadaan serta mengesan kedudukan suspek, namun lelaki sama sekali lagi melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Kami kemudian berlari semula dan berkumpul di belakang pejabat ketua balai sebelum Mohd Aznel keluar mendapatkan bantuan, manakala saya, Hasif dan Muhamad Syafiq bergerak ke hadapan balai berhampiran kereta perisai untuk berlindung.
“Kami cuba melihat di bahagian belakang balai dan mendapati lelaki sama telah melepaskan tembakan ke arah kami yang berlindung di kereta perisai. Mohd. Hasif kemudian keluar berjalan ke arah pintu pagar balai untuk tarik perhatian lelaki penyerang itu,” katanya.
Namun semasa ketika berada di hadapan kereta perisai, Muhamad Syafiq terkena tembakan di kepala, manakala suspek yang sama cuba merampas senjata iaitu submesingan jenis Heckler & Koch MP5 milik mangsa yang boleh digunakan untuk menembak secara bertalu-talu.
Ujarnya, suspek tidak sempat merampas senjata yang berada di badan Muhamad Shafiq tersebut dan ketika dia berjaya melepaskan satu das tembakan ke arah suspek dan cuba melepaskan tembakan kedua ketika suspek sedang bergerak.
“Bagaimanapun pistol saya mengalami masalah sangkut dan saya kemudian bergerak ke belakang tayar kereta perisai. Selepas membetulkan senjata, saya melepaskan satu lagi tembakan ke arah badan suspek selain cuba mencari perlindungan. Ketika itu suspek terbaring bersama Konstabel Shafiq di tepi tayar hadapan kenderaan perisai,” kata saksi itu.
Menurutnya, bantuan pasukan khas tiba kira-kira jam 3.30 pagi sebelum keadaan di balai kembali terkawal dan beliau diminta melakukan pengecaman ke atas mayat dua rakan setugas dan suspek terbabit.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung lagi esok.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala tertuduh-tertuduh yang juga lima ahli keluarga suspek serangan balai polis itu diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri.
Pada hari ini, ketika pertuduhan dibacakan semula terhadap kelima-lima tertuduh yang diwakili peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri, mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Ibu penyerang l, Rosna Jantan, 61, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024
Bapanya Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas
Sementara itu, adik beradik penyerang Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.
Dua anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.
Dalam serangan itu, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said , 24, terkorban manakala Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6

















































