Penyelia tapak didakwa pindah wang haram RM1.9 juta

15 hours ago 8

SEREMBAN – Seorang penyelia tapak projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.9 juta berhubung penjualan lot hartanah di Rembau, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 63, yang menghadapi pertuduhan di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut tiga pertuduhan, Tuan Hai didakwa menerima wang hasil aktiviti haram hampir RM1.54 juta daripada akaun bank sebuah syarikat dan dengan curangnya memperdaya seorang lelaki berusia 49 tahun untuk memindahkan wang itu ke akaun semasa miliknya.

B pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menerima hasil aktiviti haram wang RM338,000 daripada akaun simpanan seorang lelaki berusia 54 tahun.

Kesemua pemindahan berjumlah RM1.9 juta itu dilakukan selepas tertuduh memperdaya dua mangsa untuk mempercaya dia ingin menjual satu lot hartanah dalam Mukim Kundor daerah Rembau, sedangkan tertuduh bukan pemilik yang sah. Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol antara 5 hingga 11 Disember 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R.Azmi menawarkam jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon semua pertuduhan dipindahkan serta dibicarakan di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang.

Peguam, Raqib Osman memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada potensi untuk melarikan diri selain tiada kemampuan dari segi kewangan.

“Tertuduh bekerja sebagai penyelia tapak dengan gaji RM5,000 sebulan menghidap darah tinggi, dia menanggung dua anak, isteri dan ibu yang sudah tua,” katanya. Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |