SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyeludupan barang campur dan minuman keras bernilai keseluruhan RM12.27 juta, termasuk duti dan cukai, menerusi dua serbuan berasingan pada awal Julai lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Jamal Paiman berkata, rampasan itu membabitkan nilai barang sebanyak RM4.67 juta dengan anggaran duti dan cukai RM7.6 juta.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 3 petang di Sepang, Selangor, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan menahan sebuah lori Isuzu dan menemui 426 kotak mengandungi 3,669 kilogram pelbagai jenis barang campur termasuk barangan elektronik serta alat ganti kenderaan yang disyaki tidak diikrarkan.
“Nilai sitaan barang bersama lori dianggarkan RM640,268 dengan duti dan cukai sebanyak RM69,873.48. Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai membawa keluar barang dari kawasan zon bebas ke Kawasan Utama Kastam tanpa pengikraran yang sah bagi mengelak pembayaran duti dan cukai.
Sementara itu katanya, dalam serbuan kedua pada pukul 9.30 malam hari sama di sebuah gudang di Port Klang Free Zone, Selangor, pihaknya merampas 16,096 botol dan 568,470 tin pelbagai jenis minuman keras bersamaan 251,873.40 liter yang disyaki barang larangan import.
Katanya, nilai sitaan minuman keras itu dianggarkan RM4.03 juta, manakala duti dan cukai yang terbabit berjumlah RM7.53 juta.
“Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Modus operandi sindiket dipercayai mengimport dan menyimpan minuman keras di gudang dalam kawasan Zon Bebas sebelum membawanya keluar ke Kawasan Utama Kastam tanpa melalui prosedur yang sah,” katanya.
Beliau berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Butiran 30(1)(a) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1990. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
8
















































