‘Otak’ matematik anak Malaysia, cipta sensasi di IMO 2026

18 hours ago 9

BUKAN mudah untuk bersaing dengan wakil dari 117 negara yang hadir membawa reputasi hebat ke pentas Olimpik Matematik Antarabangsa (IMO) 2026 di Shanghai, China.

Namun, cabaran tersebut tidak menghalang wakil Malaysia, Tan Rui Xuen untuk membuktikan kemampuannya di IMO 2026, biarpun itu merupakan penampilan sulungnya di pentas tersebut.

Dalam pertandingan itu, pelajar Chong Hwa Independent High School itu berjaya membuktikan keupayaannya apabila membawa pulang pingat perak.

Menurut Rui Xuen, pingat perak tersebut menjadi simbol kepada usaha, cabaran dan pengorbanan yang dilaluinya sepanjang perjalanan dalam pentas matematik olimpik.

“Memenangi pingat perak pada IMO merupakan sesuatu yang amat saya syukuri. Ia adalah hasil daripada usaha keras dan ketekunan yang saya lakukan selama bertahun-tahun.

“Pingat ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah pingat.

“Ini kerana, ia mengingatkan saya tentang perjalanan yang telah saya lalui, serta segala cabaran yang berjaya saya atasi,” katanya kepada K-Remaja.

Pada pertandingan itu, pasukan Malaysia turut mencipta sejarah pada IMO ke-67 apabila berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta satu penghargaan khas.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-19 keseluruhan, sekali gus menyaksikan negara menembusi kelompok 20 terbaik dunia buat kali pertama dalam sejarah penyertaan IMO.

Ho Janson berjaya meraih pingat emas, manakala Tan Rui Xuen, Yeoh Yi Shuen dan Chia Ming Han masing-masing membawa pulang pingat perak.

Sementara itu, Ivan Chan Guan Yu memperoleh pingat gangsa, manakala Cheng You Seng menerima penghargaan khas.

Pasukan Malaysia turut mencatatkan
jumlah keseluruhan 142 mata, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan terdahulu iaitu 139 mata yang dicatatkan pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Tan Rui Xuen berkata, minatnya terhadap Matematik sebenarnya bermula sejak kecil apabila dia tertarik dengan sifat subjek itu yang menggabungkan elemen logik dan kreativiti.

Bagi Rui Xuen, matematik bukan sekadar mencari jawapan yang tepat, sebaliknya satu proses untuk meneroka idea serta memahami cara sesuatu penyelesaian dibentuk.

“Pandangan saya terhadap matematik berubah apabila saya mula mengenali matematik olimpik ketika di sekolah menengah menerusi Ujian Pemilihan Kebangsaan Olimpik Matematik Antarabangsa (IMONST).

“Berbeza dengan Matematik di sekolah yang banyak bergantung kepada formula, olimpik memerlukan pemikiran lebih mendalam, kemahiran membuat pembuktian serta penyelesaian secara kreatif.

“Pengalaman itu membuatkan saya melihat matematik dari sudut berbeza, sekali gus mendorong saya untuk mendalami bidang ini sehingga berjaya melayakkan diri menyertai kem latihan kebangsaan,” katanya.

Selepas berjaya melayakkan diri ke kem latihan kebangsaan, Rui Xuen mula berdepan dengan cabaran yang lebih besar apabila perlu bersaing dengan pelajar terbaik di negara ini.

Bagaimanapun, pengalaman tersebut menjadi ruang untuknya mengembangkan kemahiran serta memperbaiki kelemahan diri dalam matematik olimpik.

Para peserta negara bergambar dengan berlatarbelakangkan pelan tempat duduk peperiksaan IMO 2026 di Shanghai, China.

Dalam pada itu, Rui Xuen memaklumkan, persediaan sebelum menyertai IMO memerlukan komitmen tinggi, di mana dia memperuntukkan sebahagian besar masanya setiap hari untuk menyelesaikan soalan, mengulang kaji teori serta memahami pelbagai topik seperti algebra, kombinatorik, geometri dan teori nombor.

Latihan mingguan bersama pasukan kebangsaan menjadi platform penting untuknya menimba ilmu daripada jurulatih dan rakan sepasukan.

Pada masa sama, dia perlu bijak membahagikan masa antara latihan dan pelajaran dengan menyusun jadual secara teratur bagi memastikan dirinya mendapat rehat yang mencukupi.

Katanya, matematik bukan sekadar bergantung kepada bakat, sebaliknya memerlukan rasa ingin tahu, kesungguhan dan kesabaran untuk terus mencuba.

“Saya ingin memberitahu pelajar bahawa matematik bukan hanya tentang menjadi seorang berbakat atau berkemahiran.

“Kita perlu melihat matematik sebagai satu penerokaan dan bukan sekadar himpunan persamaan serta formula.

“Lepas itu, kita akan mula menikmatinya dan mendapati bidang ini cukup bermakna,” katanya.

Untuk makluman, setiap pelajar perlu melalui IMONST, sebelum dipilih menyertai Bengkel Olimpik Matematik Antarabangsa Malaysia (BIMO), iaitu kem latihan intensif bagi membimbing dan memilih wakil negara ke IMO.

Proses tersebut lazimnya mengambil masa beberapa tahun sebelum seseorang pelajar benar-benar bersedia bersaing di pentas antarabangsa.

Dalam IMO, pingat diberikan berdasarkan pencapaian individu, walaupun peserta bertanding sebagai wakil negara masing-masing.

Setiap peserta menjawab set soalan yang sama secara individu sebelum dinilai panel juri.

Biasanya, pertandingan itu berlangsung selama dua hari dengan enam soalan yang menguji kemahiran penyelesaian masalah dan pembuktian.

Pingat emas diberikan kepada peserta yang mencapai markah dalam kelompok tertinggi, manakala pingat perak dan gangsa mengikut tahap pencapaian seterusnya.

Tiada markah tetap untuk pingat emas kerana julatnya ditentukan berdasarkan tahap kesukaran soalan serta prestasi keseluruhan peserta setiap tahun. Jumlah markah maksimum ialah 42 mata.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan IMO Malaysia, Ivan Chan Kai Chin berkata, melatih pasukan tersebut bukan tugas mudah kerana kesemua pelajar yang terpilih sudah mempunyai tahap kebolehan matematik aras tinggi.

Katanya, cabaran utama bukan sahaja memastikan peserta menguasai aspek matematik, malah membimbing mereka dari segi pemikiran, keyakinan diri dan sahsiah.

Program latihan yang dijalankan bukan sekadar memberi penekanan kepada penguasaan matematik, sebaliknya turut membentuk nilai ketekunan, disiplin dan semangat tidak mudah berputus asa dalam kalangan peserta.

Katanya, pelajar juga digalakkan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan menerusi sistem ‘mentor-mentee’, selain bekerjasama menyelesaikan pelbagai masalah matematik sepanjang latihan.

“Budaya saling membantu penting kerana bidang penyelidikan matematik lebih menekankan kerjasama berbanding persaingan semata-mata.

“Saya gembira melihat pelajar kita mampu berkawan dan berkongsi idea dengan peserta dari seluruh dunia.

“Pada akhirnya, mereka melihat IMO sebagai cabaran untuk menguji diri sendiri dalam matematik, bukannya bersaing dengan orang lain,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian Malaysia pada IMO kali ini, Kai Chin menyifatkannya sebagai detik bersejarah yang membuktikan negara mampu melahirkan bakat matematik bertaraf dunia.

“Pencapaian ini menunjukkan Malaysia mampu melahirkan bakat setanding dengan negara-negara yang selama ini dikenali sebagai kuasa besar matematik.

“Saya berharap, IMO akan terus menjadi platform melahirkan lebih ramai ahli matematik negara yang mampu memberi impak di peringkat antarabangsa,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |