PERCUTIAN yang sempurna bukan sekadar tentang bilik yang indah atau pemandangan yang memukau, tetapi juga rasa tenang apabila segala keperluan telah diuruskan dengan baik.
Daripada pakaian yang siap digosok, secawan kopi yang dihantar tepat pada waktunya hinggalah cadangan aktiviti yang bersesuaian, setiap perincian kecil mampu menjadikan pengalaman menginap jauh lebih menyeronokkan.
Begitulah yang dapat dirasai sekira suatu penginapan di hotel itu dibantu khidmat seorang butler. Kerjaya butler dalam dunia perhotelan mungkin kurang diketengahkan tetapi khidmatnya mampu menjadikan suatu percutian begitu eksklusif.
Butler merupakan satu perkhidmatan berasaskan permintaan yang ditawarkan hotel-hotel mewah.
Secara ringkas, butler ialah seorang petugas hospitaliti yang memberikan perkhidmatan peribadi ‘high end’ kepada tetamu bagi memastikan setiap keperluan mereka sepanjang penginapan diuruskan dengan lancar dan selesa.
Kerjaya ini juga bahkan dihargai di seluruh dunia apabila 29 Julai diangkat sebagai Hari Butler Antarabangsa.
Penampilan butler lazimnya bergaya penuh etika dengan pakaian suit, potongan lapel, vest, pin atau lencana nama tertentu yang membezakannya daripada petugas barisan hadapan. Adakala mereka mengenakan sarung tangan putih persis penjaga barangan mewah di butik.
Bukan sekadar membawa bagasi, dalam konteks hotel mewah, mereka turut bertindak sebagai titik hubungan utama (single point of contact) untuk tetamu, mengurus pelbagai permintaan supaya tetamu boleh berehat dan menikmati percutian tanpa perlu memikirkan hal-hal kecil.
Antara perkhidmatan yang lazim ditawarkan oleh butler termasuk menyambut tetamu semasa ketibaan dan membantu proses daftar masuk, mengemas atau menyusun pakaian, mengurus perkhidmatan menggosok pakaian dan menyediakan minuman seperti kopi atau teh.
Di negara ini, antara hotel yang menawarkan servis itu termasuk The St. Regis (Kuala Lumpur dan Langkawi, Kedah) The Ritz-Carlton Langkawi, The Datai Langkawi serta hotel W Kuala Lumpur.
The St. Regis misalnya sehingga kini masih mengekalkan tradisi St. Regis Butler Service iaitu warisan yang telah menjadi identiti jenama itu sejak awal abad ke-20.
Berkongsi dengan CitaRasa, Penolong Ketua Butler The St Regis Langkawi, Azman Ayob berkata, sepanjang enam tahun berkecimpung, dia berpeluang memberikan perkhidmatan kepada pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara.
“Sepanjang berkhidmat, saya berpeluang mencipta pengalaman yang mencerminkan standard layanan ikonik hotel antarabangsa ini. Bagi saya, kepuasan sebenar adalah apabila dapat membina hubungan yang baik dengan tetamu dan memastikan setiap penginapan mereka terasa lebih peribadi, selesa serta meninggalkan kenangan yang indah,” katanya.
St. Regis Butler Service menjadi identiti jenama tersebut sejak hotel St. Regis pertama dibuka di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1904 oleh John Jacob Astor IV.
Beliau mempunyai visi untuk menawarkan pengalaman penginapan berbeza daripada hotel lain menerusi perkhidmatan yang diperibadikan mengikut keperluan dan cita rasa setiap tetamu.
Lebih satu abad kemudian, komitmen itu terus menjadi tunjang kepada setiap hotel St. Regis di seluruh dunia. Walaupun asas perkhidmatan tersebut kekal tidak berubah, ia sentiasa berkembang seiring dengan perubahan keperluan pengembara moden.
Di hotel itu di Langkawi, legasi itu diteruskan dengan menggabungkan standard perkhidmatan yang mengutamakan keperluan tetamu sebelum diminta, bersama nilai kemesraan, keikhlasan dan kesopanan yang menjadi teras hospitaliti Malaysia.
AZMAN yang berkhidmat sebagai butler di Hotel St. Regis Langkawi turut berperanan menyusun, mengemas pakaian dan mengurus khidmat menggosok pakaian tetamu.Membawa pembaca untuk memahami tugasnya, Azman berkata, tugas seorang butler sebenarnya sudah pun bermula sebelum tetamu yang membuat permintaan khidmat butler tiba.
Pihaknya akan menghubungi tetamu menerusi e-mel bagi mendapatkan maklumat seperti keperluan diet, sambutan istimewa atau sebarang keutamaan peribadi. Malah, rekod penginapan terdahulu turut disemak bagi membolehkan pengalaman yang lebih diperibadikan disediakan mengikut kesesuaian setiap tetamu.
“Setibanya mereka di resort, kami akan menyambut sendiri ketibaan tetamu sebelum membawa mereka mengikuti sesi pengenalan ringkas sekitar resort,” katanya.
Tetamu kemudian diiringi ke suite atau vila masing-masing untuk diberi penerangan kemudahan yang disediakan. Pada masa sama, Azman mengambil peluang mengenali tetamu dengan lebih dekat, termasuk memahami minat, keutamaan dan jangkaan mereka sepanjang penginapan.
Jelas anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu lagi, sepanjang tetamu berada di resort, butler akan menjadi individu utama yang menguruskan pelbagai keperluan seperti tempahan restoran, pengangkutan, sambutan istimewa serta memastikan setiap perincian diberi perhatian.
Tambahnya, ramai tetamu terkejut apabila mengetahui perkhidmatan Butler Service jauh lebih menyeluruh daripada tanggapan tradisional terhadap seorang butler.
“Butler bahkan turut membantu merancang sambutan istimewa mengikut cita rasa tetamu seperti dekorasi bilik romantik, penyediaan kemudahan khas, pengalaman menjamu selera secara peribadi, merancang jadual perjalanan serta menyediakan kejutan yang disesuaikan kehendak mereka.
“Sama ada mengatur lamaran ketika matahari terbenam, meraikan hari lahir dengan cara unik atau menyediakan kemudahan yang mencerminkan minat tetamu, matlamat kami adalah untuk jadikan setiap penginapan lebih peribadi dan sukar dilupakan.
“Selalunya sentuhan kecil yang tidak dijangka inilah yang paling memberi kesan kepada tetamu,” katanya.
Nasihat Azman kepada mereka yang pertama kali mahu mencuba servis butler hotel mewah adalah supaya mereka meluangkan masa mengenali butler yang ditugaskan.
“Sama ada anda datang untuk raikan detik istimewa, cari ketenangan atau teroka keindahan lokasi percutian, seorang butler akan menyesuaikan pengalaman penginapan mengikut keperluan tetamu supaya percutian mereka terasa mudah.
“Kami juga menggalakkan tetamu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan seperti eButler Service yang beroperasi 24 jam, Butler Beverage Service secara percuma, perkhidmatan menggosok pakaian serta bantuan mengemas dan menyusun bagasi. Ini kerana semua perkhidmatan ini diwujudkan bagi menguruskan setiap perincian supaya tetamu dapat beri tumpuan sepenuhnya untuk nikmati percutian,” katanya.
Ada juga sesetengah hotel mewah yang menggunakan gelaran lain selain butler. Di The Ritz-Carlton Langkawi misalnya, mereka menggunakan konsep Kundang Service, yang mengambil inspirasi daripada nilai hospitaliti Melayu, tetapi memainkan fungsi yang hampir sama seperti seorang butler.
Menariknya, istilah ‘Kundang’ bukan dipilih secara kebetulan, sebaliknya berasal daripada istilah istana Melayu yang merujuk kepada dayang atau pengiring diraja (lady/man-in-waiting) yang sentiasa bersedia membantu dan memenuhi keperluan golongan diraja.
Kongsi seorang Kundang yang memperkenalkan diri sebagai Syasya, peranan mereka adalah untuk mencipta pengalaman yang bermakna dan diperibadikan, melangkaui perkhidmatan butler tradisional.
“Nama Kundang berakar umbi daripada warisan tempatan Melayu. Menurut legenda, pada zaman dahulu, raja dan permaisuri akan mengembara bersama seorang pengiring diraja yang dipercayai, dikenali sebagai Kundang.
“Individu ini bertanggungjawab memenuhi setiap keperluan keluarga diraja sepanjang perjalanan mereka, memastikan keselesaan, keselamatan dan pengalaman perjalanan yang lancar. Ia merupakan satu jawatan yang sangat dihormati dan dipandang tinggi,” kongsinya kepada CitaRasa.
Ungkap Syasya, tiada dua hari yang sama bagi seorang Kundang sepertinya dan itu apa yang menjadikan peranannya cukup bermakna.
Seorang Kundang antaranya akan menyambut tetamu serta memperibadikan pengalaman mereka seperti menyelaras perkhidmatan dobi atau pembungkusan bagasi, memenuhi permintaan melalui platform e-butler, ataupun mencipta kejutan yang penuh perhatian berdasarkan pilihan mereka.
Syasya berkata, seorang Kundang yang hebat harus menggabungkan profesionalisme dengan kemesraan yang tulus sepanjang berkhidmat.
Mereka perlu peka, mudah menyesuaikan diri serta mampu menjangka keperluan tetamu sebelum mereka sendiri memintanya.
“Kecerdasan emosi yang tinggi, kreativiti, sifat berhemah, kemahiran komunikasi yang cemerlang serta keupayaan berfikir pantas juga amat penting,” ujarnya.

4 hours ago
7














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

