PETALING JAYA – “Ini tamparan yang sangat hebat bagi saya, titik terendah dalam hidup saya.”
Demikian luahan pilu suami, mangsa kemalangan maut di Jalan Temerloh-Triang, Saifulnizam Sulaiman, 39, ketika berkongsi detik getir yang dilalui selepas kehilangan dua insan tersayang dalam tragedi berkenaan.
Menurutnya, dia masih belum mempunyai kekuatan untuk membuka media sosial atau menonton video kemalangan tersebut namun mengetahui ramai rakyat Malaysia mendoakan isteri, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Naufal, 12.
“Saya tak buka langsung media sosial, disampaikan oleh kawan-kawan. Saya belum ada kekuatan untuk buka video yang tersebar itu.
“Allah uji, Allah ambil semula apa yang Dia pinjamkan kepada saya. Balik rumah, dalam keadaan kosong, rasa macam ini bukan tempat saya dah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di Instagram malam tadi.
Menceritakan perjalanan yang dilaluinya selepas tragedi itu, Saifulnizam berkata, dia tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira pukul 1 pagi sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Temerloh sekitar 1.30 pagi.
“Alhamdulillah, saya dibenarkan melihat sendiri jasad isteri dan anak saya. Kemudian saya tidak boleh tidur sampai pagi.
“Pagi tadi saya kembali ke forensik Hospital Temerloh untuk pengecaman semula jasad serta barang-barang yang ditemui semasa kejadian. Dari tengah hari hingga petang pula saya perlu menjalani ujian darah untuk proses asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya.
Menurutnya, sehingga kini dia masih belum dapat memastikan bila jenazah isteri dan anaknya dapat dikebumikan kerana keputusan ujian DNA dijangka diperoleh hari ini.
“Esok (hari ini) keputusan akan keluar tetapi esok masih tidak pasti boleh dikebumikan atau tidak. Secara peribadi saya mahu menguruskan isteri dan anak saya untuk dikebumikan segera, tetapi saya kena faham keadaan semasa.
“Sekiranya esok tidak dapat dikebumikan, kemungkinan proses pengebumian akan berlaku pada Isnin,” katanya.
Dalam kesempatan itu, dia turut menjemput orang ramai untuk hadir ke proses pengebumian kelak dan bersama-sama mendoakan arwah isteri serta anaknya.
“Memandangkan ramai rakyat Malaysia mendoakan isteri dan anak saya, saya secara peribadi menjemput orang ramai untuk datang sewaktu proses pengebumian dan sama-sama kita mendoakan arwah isteri dan anak saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

