SUDAH hampir empat tahun berlalu, namun pengalaman menginap di sebuah hotel ketika menghadiri kursus masih membuatkan Rizal (bukan nama sebenar) tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku sepanjang tiga hari dia berada di situ.
Walaupun tidak pernah melihat sebarang jelmaan, namun beberapa kejadian aneh yang dialaminya benar-benar sukar diterima oleh akal.
Membuka cerita, Rizal berkata, dia menginap bersendirian di sebuah hotel di Utara tanah air kerana menghadiri kursus selama tiga hari.
“Saya sampai waktu petang dan semuanya nampak biasa. Hotel itu pun baru sahaja dinaik taraf dan memang kelihatan sangat cantik,” katanya.
Selepas selesai mandi dan berehat, Rizal keluar makan malam bersama beberapa rakan, sebelum kembali semula ke bilik sekitar pukul 10 malam.
Disebabkan terlalu letih, dia terus tidur tanpa memikirkan apa-apa.
Keesokan paginya, Rizal terkejut apabila mendapati tuala mandi yang disangkanya telah disidai di dalam bilik air berada di atas kerusi berhampiran televisyen.
“Saya yakin, saya sangkut tuala itu sebab masih basah selepas mandi.
“Masa nampak atas kerusi, saya fikir mungkin saya yang terlupa sidai di dalam bilik air,” katanya.
Tanpa mengesyaki apa-apa, dia menggunakan semula tuala tersebut sebelum keluar mengikuti kursus.
Apabila pulang pada sebelah malam, biliknya telah dikemas oleh petugas hotel. Namun, sesuatu yang pelik berlaku keesokan paginya.
Sekali lagi, tuala yang disidai di dalam bilik air berada di tempat lain.
Kali ini, tuala tersebut diletakkan kemas di hujung katil.
“Saya sudah mula rasa pelik sebab saya memang ingat saya gantung semula tuala itu sebelum tidur.
“Saya siap fikir mungkin staf hotel masuk pada waktu malam, tapi pintu tak pernah diketuk,” ujarnya.
Perasaan tidak sedap hati mula menyelubungi dirinya.
Pada malam kedua, sebelum tidur, Rizal sengaja mengambil gambar keadaan bilik menggunakan telefon bimbit. Langkah itu bagi merakam kedudukan kerusi, meja, beg dan tuala.
“Saya buat macam itu sebab nak buktikan sama ada saya yang pelupa atau memang ada perkara lain berlaku,” katanya.
Keesokan paginya, sebaik sahaja membuka mata, dia terus melihat ke arah bilik air.
Tuala yang sebelum itu tergantung sudah tiada. Apabila dia berpaling ke arah meja kerja, tuala tersebut berada di atas kerusi seperti hari pertama.
Lebih menghairankan, kerusi itu sedikit berubah kedudukan berbanding di dalam gambar yang diambilnya pada malam sebelumnya.
“Saya terus buka gambar dalam telefon. Memang kedudukan kerusi itu tidak sama dengan malam tadi,” katanya.
Rizal bagaimanapun tidak menceritakan perkara itu kepada petugas hotel kerana bimbang dianggap cuba mereka-reka cerita seram.
Sebaliknya, dia memilih untuk menghabiskan malam terakhir di bilik tersebut tanpa menyentuh apa-apa barangan.
“Saya memang tak tidur lena pada malam itu. Saya hendak pastikan apa yang berlaku pada setiap malam di dalam bilik itu. Namun, tiada apa yang berlaku pula pada malam terakhir.
“Sampai sekarang kalau menginap di hotel, saya akan ambil gambar keadaan bilik sebelum tidur. Pengalaman itu buat saya tak pernah rasa tenang,” katanya.
Walaupun tidak pernah melihat sebarang lembaga atau mendengar suara aneh, namun pengalaman itu masih menjadi tanda tanya buat Rizal.
Ini kerana sehingga hari ini, dia tidak pernah menemui penjelasan sebab barang dalam biliknya boleh berubah tempat tanpa disedari.

5 hours ago
5














































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)

