Selepas belasah India 3-0, Malaysia mahu libas Myanmar

12 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara enggan terlalu awal dibuai keyakinan meskipun membuka kempen acara berpasukan Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas India di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Pengurus skuad sepak takraw kebangsaan, Datuk Abu Jimi Samat menegaskan, pertemuan menentang Myanmar dalam aksi kedua peringkat kumpulan malam esok tetap perlu diberikan perhatian serius meskipun rekod lalu tidak terlalu memihak kepada lawan itu.

Menurutnya, prestasi semasa Myanmar menunjukkan mereka kini semakin kompetitif dan berupaya memberi cabaran besar kepada pasukan-pasukan utama.

“Berdasarkan pemerhatian kita sebelum ini termasuk rekod pertandingan atau perlawanan yang pernah ditemukan, ia bukanlah satu situasi yang terlalu berat kepada pasukan negara.

“Namun, melihat kepada prestasi beberapa acara sebelum ini, Myanmar telah memberikan cabaran cukup kuat khususnya kepada regu kita selain turut memberi tentangan hebat kepada Thailand.

AKSI Muhammad Noraizat Mohd. Nordin ketika melakukan libasan ke atas pemain India.

“Jadi, kita tidak boleh memandang mudah kemampuan mereka dan perlu memberikan sehabis baik dengan rekod kemenangan bersih,” katanya.

Terdahulu, regu pertama negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam selaku tekong bersama Zuleffendi Sumari dan Muhammad Noraizat Mohd. Nordin memperagakan aksi cup agresif apabila tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan mata pertama apabila menang 15-10, 15-10.

Momentum itu diteruskan regu kedua menerusi gandingan Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias yang tampil cukup tenang untuk menewaskan lawan 15-10, 15-12 meskipun India cuba memberi tentangan pada set kedua.

Sorakan penonton di Stadium Titiwangsa semakin bergema apabila regu ketiga negara pula mempamerkan aksi dominan dan tidak membuka ruang kepada India mencari set kemenangan.

Gandingan Zulkifli Abd. Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifuddin Mohd. Razali sebelum diperkuatkan dengan kemasukan Hafizul Hayazi Adnan ternyata terlalu ampuh apabila menamatkan cabaran India dengan kemenangan mudah 15-3, 15-5.

Kemenangan bersih tanpa kehilangan sebarang set itu sekali gus membuktikan skuad negara masih memiliki ‘bisa’ untuk ke suku akhir terutama ketika menentang Myanmar malam ini. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |