Segmen Open Bonet bakal pacu hasil tinggi Saudagaar Asia

6 hours ago 4

BANGI – Saudagaar Asia Sdn. Bhd. (Saudagaar Asia) pengeluar produk makanan kegemaran ramai berasaskan coklat premium berjenama Choco Albab, me­nyasarkan jualan daripada segmen produk minumannya pada tahun ini mencecah kepada satu juta kotak berbanding 400,000 kotak tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Said Saiful Fazli berkata, syarikat kini melihat permintaan terhadap produk minumannya yang telah berada di pasaran, Belgian Choco Drink telah mendapat sambutan menggalakkan malah dikomersialkan pula melalui pengenalan konsep baharu iaitu Open Bonet yang dikenali sebagai Choco Albab Joy Station.

Menurut beliau, pertambahan nilai jualan itu juga dipacu oleh pelancaran produk minuman kopi pula iaitu Belgian Mocha Drink yang akan memberi tawaran pilihan pelbagai kepada peminat produk keluaran syarikat.

“Buat masa sekarang, kami memiliki kira-kira 95,000 pengedar dan 2,000 daripada mereka kini telah terlibat dalam perniagaan berkonsepkan Open Bonet yang mampu menjana pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan.

“Jika sebelum ini mereka menawarkan enam jenis minuman daripada Belgian Choco Drink yang dijual pada harga RM4.50 hingga RM9 untuk satu pek minuman, kini mereka ada pilihan kedua perisa minuman kopi yang akan menggalakkan lagi jualan mereka setiap bulan.

“Tidak ramai yang suka minum berasaskan koko, jadi dengan pelancaran produk terbaharu berasaskan minuman kopi yang dijual pada harga RM39 sekotak, kami yakin perniagaan Open Bonet ini akan terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar buat syarikat pada masa depan” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Rising Star 2025 yang merupakan acara tahunan kali ketiga yang dihadiri oleh 3,000 tetamu di sini baru-baru ini.

Said Saiful menjelaskan, melihat kepada potensi segmen perniagaan berkenaan, pihak syarikat telah mengeluarkan garis panduan bagi setiap pengedarnya untuk menyediakan minuman koko atau kopi agar kualiti dan rasanya sama tanya sebarang aduan negatif daripada pelanggan.

Lebih menarik, Saudagaar Asia telah menyediakan kursus  barista secara umum kepada tetamunya dalam majlis tersebut bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang penyediaan minuman mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut mengenai segmen perniagaan Open Bonet, beliau menerangkan, ia telah dimulakan melalui idea kreatif para pengedarnya setahun lepas dan kini ia telah mendapat sokongan yang baik daripada ibu pejabat untuk memastikan ia diniagakan secara profesional, seragam dan memiliki kualiti terbaik untuk ditawarkan kepada pelanggan.

Tambah beliau, melalui konsep Open Bonet yang hanya bermula dengan modal RM150 berupa produk, bekas penggoncang minuman (shaker) dan pelekat, pengedar boleh menawarkan minuman lazat kepada pelanggan hanya beroperasi dari bonet kereta masing-masing di lokasi bersesuaian mengikut masa dan keperluan masing-masing. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |