‘Saya mahu jadi pegawai polis Forensik YB’

6 hours ago 5

SEBERANG PERAI – Meskipun terpaksa hidup dalam serba kekurangan namun Nurul Amani Zabani, 18, tetap berjaya membukti kejayaannya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Perkara itu dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menerusi laman Facebooknya hari ini, setelah beliau meluangkan masa berkunjungi ke rumah keluarga remaja itu di Permatang Pauh di sini, minggu lalu.

Steven Sim yang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, beliau bangga dengan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti itu walaupun terpaksa menempuh kehidupan yang sangat mencabar.

Menurutnya, Amani merupakan seorang anak tunggal dan dia kehilangan ayahnya yang juga seorang pemandu lori akibat kencing manis, enam tahun lalu.

“Pagi minggu lepas, Amani mesej saya tunjukkan keputusan peperiksaannya cukup membanggakan. Saya tersenyum panjang, tapi saya tahu senyuman paling besar datang daripada ibunya, Puan Asma, yang selama ini seorang diri membesarkan Amani selepas pemergian ayahnya enam tahun lalu.

“Sejak itu, Puan Asma menyara hidup dengan bekerja sebagai tukang cuci rumah orang, pendapatan tidak menentu, itupun jika ada panggilan kerja. Hidup mereka sederhana, penuh cabaran.

“Tahun lalu, semasa lawatan PMX ke Permatang Pauh, Amani memberanikan diri tampil ke hadapan. Dengan penuh kejujuran, dia menceritakan kesusahan hidupnya kepada PMX termasuk tidak mampu membayar kelas belajar motor,” katanya di Facebook, hari ini.

Jelas beliau lagi, keluhan Amani membuatkan Perdana Menteri mengarahkan pegawainya pergi ke rumah remaja itu.

“Dari situlah saya mula mengenali Amani dan mengambilnya sebagai anak angkat saya agar dia tidak lagi memikirkan tentang kewangan untuk diteruskan belajar lebih-lebih lagi Amani akan berhadapan dengan SPM.

“Saya nak jadi seorang anggota polis forensik YB dan impian saya satu masa nanti saya nak sambung belajar di Universiti di negara China. Amani bisik pada saya,” ujarnya lagi.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |