KUALA LUMPUR – Disangka meninggalkan dunia lakonan, aktor versatil Datuk Rosyam Nor memilih untuk lebih aktif membintangi drama.
Rosyam atau nama lengkapnya Mohamed Nor Shamsuddin, 59, berkata, sebelum ini dia memberikan lebih komitmen terhadap filem sehingga kemunculan di televisyen semakin berkurangan.
“Sebenarnya saya memang sudah lama saya tidak muncul dalam telefilem mahupun drama bersiri, cuma fokus kepada beberapa filem sahaja.
“Tapi sampai satu masa ada orang tegur, mereka tanya ‘Rosyam dah berhenti berlakon ke?’. Saya cakap tidak, saya masih berlakon.
“Cuma sebab lama tak muncul di televisyen, nampak macam menghilang pula. Jadi sekarang saya nak rancak semula,” katanya ketika ditemui pada acara Riang Ria Raya ACGas, baru-baru ini.
Kata penerbit juga ahli perniagaan itu, minat mendalam terhadap lakonan menjadi pendorong untuk kembali aktif meskipun dihambat jadual padat terutama mengendalikan perniagaan Rosyam Mart.
“Lakonan merupakan minat saya dan kerana lakonan juga kerjaya yang meletakkan diri saya pada tahap sekarang.
“Disebabkan itu saya rasa perlu terus aktif di pawagam mahupun televisyen walaupun masa agak padat serta memenatkan,” ujarnya.
Bagi memenuhi permintaan, pemilik rumah produksi Suhan Movies & Trading itu mengambil beberapa tawaran drama baharu.
Begitupun, Rosyam mengakui perlu selektif memandangkan beberapa projek untuk tayangan di panggung wayang sedang menanti selain perlu memenuhi jadual promosi filem yang sudah disiapkan.
“Ketika ini saya cuma ambil satu atau dua projek drama bersiri sahaja, tapi untuk filem, alhamdulillah. Ada yang sudah siap, ada juga bakal masuk set.
“Pada 30 April ini akan keluar filem Pewaris Susuk, kemudian saya akan ke set Blood Brothers 2 dan seterusnya Memoir Seorang Guru 2 sekitar Disember nanti,” katanya.
Pada masa sama Rosyam juga mengakui teruja bergandingan semula dengan pelakon Rita Rudaini selepas sekian lama.
“Sebelum ini kami kerap berpasangan dalam drama. Kali terakhir saya berlakon dengan Rita adalah menerusi filem Balistik sekitar 2014. Lebih sedekad berlalu.
“Dia juga antara heroin yang diminati ramai apabila saya muncul dalam drama bersiri sebelum ini. Saya pun tak sabar tunggu drama baharu kami,” jelasnya.
Akuinya lagi, mereka bakal muncul bersama dalam drama terbaharu berjudul Jiwa Seorang Pentaksub yang dijangka ditayangkan pada Jun ini di TV3. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
7

















































