KUALA LUMPUR – Pernah putus harapan untuk hidup sepanjang berada di sebalik tirai besi dan dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mengakui tidak pernah terfikir akan dibebaskan dalam tempoh yang singkat selepas dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Menurut Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, pembebasan tersebut melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.
“Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan jika itu menjadi kenyataan, saya berada dalam penjara sehingga umur 80 tahun. Itu pun kalau panjang umur, jika tidak, mungkin meninggal dunia dalam penjara.
“Ketika itu memang hilang harapan kerana merasakan semuanya sudah berakhir. Sepanjang berada di penjara Kajang, saya dekatkan diri pada Tuhan.
“Keadaan sangat teruk dan ketika itu saya rasa tak ada jalan keluar dah,” katanya yang ditemui pada pementasan teater muzikal Mansur dan Liu di Istana Budaya, malam tadi.
Bukan jalan singkat, dia berkata proses pembebasannya dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya selepas pihak hospital berpuas hati dengan perkembangan rawatan serta tahap kestabilan kesihatan saya.
“Alhamdulillah, sudah genap seminggu saya bebas dari Hospital Bahagia Ulu Kinta. Sebelum itu perjalanan yang saya lalui sangat berliku . Saya masuk Penjara Sungai Buloh, kemudian hospital, lepas itu Penjara Kajang, masuk hospital balik.
“Seiring dengan Hari Kemerdekaan negara, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah perkenan dan menandatangani perintah pembebasan saya.
“Bukan pembebasan awal, saya mengikut prosedur dan tidak ada jalan mudah. Maknanya pihak hospital berpuas hati dengan hasil rawatan kerana memaklumkan kesihatan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia mendedahkan pengalaman menjalani hukuman di penjara adalah antara perkara paling menakutkan dalam hidupnya.
“Penjara adalah tempat yang teruk, kotor, ganas dan hina.
“Setiap kali ada pemeriksaan keselamatan, kami akan dibogelkan, diarahkan melakukan ketuk ketampi.
“Nasihat saya, janganlah masuk penjara kerana tempat paling tak menyeronokkan,” jelasnya.
Berkongsi tentang perkembangannya ketika ini, dia berada dalam fasa untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet pemakanan.
“Sekarang ini saya tengah diet. Dulu berat saya 65 kilogram (kg), selepas masuk penjara, turun sehingga 48kg, sudah macam orang Somalia.
“Kemudian masuk Hospital Bahagia, mereka beri ubat dan berat badan bertambah sehingga 80kg.
“Ketika ini 77kg dan mahu kurangkan sehingga mencapai 60kg pula,” tuturnya yang bakal menerbitkan autobiografi 400 muka surat tentang perjalanan hidupnya dalam tempoh terdekat.
Tambahnya, dia kini diberikan preskripsi beberapa jenis ubat yang perlu diambil sepanjang hayatnya.
“Saya masih bergantung kepada ubat dan itu syarat-syarat untuk keluar daripada Hospital Bahagia.
“Pertama, tak boleh tinggalkan ubat sehingga penghujung hayat dan kedua, tidak boleh terlibat dengan ganja lagi,” ujarnya penyanyi lagu Mimpi Laila itu.
Terdahulu, pada 2 September lalu, Yasin dibebaskan selepas lebih empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Untuk rekod, pada 22 Ogos 2024, Yasin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada 29 November 2023.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 April 2025 melepas dan membebaskan Yasin serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia sehingga diperkenan Sultan Selangor.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Yasin didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan memberikan dirinya dadah berbahaya. – KOSMO!

7 hours ago
6
















































