CEO Alam Maritim nafi dua pertuduhan tipu kadar sewaan harian kapal

8 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang individu berhubung tawaran sebenar kadar harian kapal sebenar.

Bagaimanapun Azmi, 67, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Azmi didakwa menipu Pegawai Prinsipal TH Alam Management Sdn. Bhd. Iskandar Mohd. Zaffa, 48, dengan menyembunyikan tawaran sebenar Daily Charter Rate bertarikh 24 Ogos 2023 yang memperuntukkan RM80,500 sehari di dalam Work Order.

Ia mendorong Iskandar untuk bersetuju menandatangani BIMCO Supplytime 2017 dengan Daily Charter Rate berjumlah RM70,000 sehari di antara Alam-JV DP2 (L) Inc. dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu individu sama dengan menyembunyikan tawaran sebenar Daily Charter Rate bertarikh 15 Jan 2024 yang memperuntukkan sejumlah RM110,000 sehari di dalam Work Order sehingga mendorong lelaki itu menandatangani BIMCO Supplytime 2017 dengan Daily Charter Rate, RM78,000 sehari di antara TH-Alam Management dan Alam Maritim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Sri Petaling di sini masing-masing pada 6 September 2023 dan 16 Januari 2024, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian kemudian membenarkan Azmi diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tarikh 18 November ini ditetapkan sebutan semula kes.

Pada 17 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan Azmi direman oleh SPRM.

Syarikat berkenaan bagaimanapun menegaskan penahanan tersebut tidak berpunca daripada sebarang salah laku dan lembaga pengarah telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan kesinambungan operasi kumpulan.

“(Lembaga pengarah juga) akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Terdahulu SPRM menahan tujuh individu termasuk seorang CEO, pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Tabung Haji bersabit Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.

Bagaimanapun, hanya dua suspek termasuk CEO direman manakala lima lagi dilepaskan dengan jaminan kerana masalah kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |