KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan, beliau tidak pernah memilih atau berkeras untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu dan bergari.
Menerusi kenyataan media hari ini, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata sebaliknya Abdul Azeez tidak diberi peluang menukar pakaian sebelum dibawa menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana Abdul Azeez kekal dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas prosiding reman bagi siasatan kes penipuan hibah TH.
Menurutnya, sebelum meninggalkan lokap polis, Abdul Azeez pada mulanya dibenarkan memakai pakaian biasa.
“Walau bagaimanapun, sejurus sebelum dibawa keluar dari lokap, beliau diarahkan untuk menukar pakaian kepada pakaian lokap berwarna ungu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Beliau kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 untuk permohonan reman oleh pihak polis dengan memakai pakaian tersebut, di mana perintah reman selama dua (2) hari telah dikeluarkan terhadap beliau. Sepanjang tempoh tersebut, anak guam kami kekal di bawah tahanan dan kawalan PDRM,” kata kenyataan itu.
Sementara itu berhubung isu gari, Amer Hamzah memaklumkan gari yang dipakai dipasang oleh pihak polis dan bukannya SPRM. Ia usulan prosiding reman, anak guam kami dibawa terus dari Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 untuk pertuduhan SPRM terhadapnya dibacakan.
Kata kenyataan itu, Abdul Azeez tidak dibebaskan daripada tahanan polis di antara kedua-dua prosiding tersebut, dan tidak juga diberi peluang untuk menukar pakaian lokap sebelum dibawa ke hadapan Mahkamah Sesyen (Jenayah).
“Oleh itu, penampilan anak guam kami dalam pakaian lokap ungu dan gari semasa prosiding SPRM berikutnya bukanlah pilihan peribadinya. Beliau dibawa terus ke prosiding tersebut dalam pakaian dan keadaan yang sama seperti ketika menghadiri prosiding reman polis,” katanya.
Sehubungan itu, Amer Hamzah berkata, sebarang cadangan bahawa Abdul Azeez secara sukarela memilih untuk hadir dalam keadaan tersebut adalah tidak tepat dan boleh memberikan gambaran mengelirukan mengenai situasi sebenar.
“Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan keadaan sekitar kehadiran anak guam kami di mahkamah hari ini dan membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan mengenainya.
“Anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana orang yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau mengekalkan sebarang naratif palsu atau mengelirukan mengenai keadaan kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, SPRM dalam dalam satu kenyataan di sini memaklumkan tindakan Abdul Azeez yang memakai baju lokap ungu polis dan keadaan bergari ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini adalah dibuat atas kehendak beliau sendiri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, tokoh politik itu juga turut dinasihati oleh pegawai terlibat dan peguam untuk memakai pakaian biasa ketika hadir prosiding serta tidak perlu mengenakan gari.
“Untuk makluman, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan,” kata kenyataan itu.
Justeru, SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak khususnya suruhanjaya itu.
“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya yang membabitkan isu ini,” katanya.
Hari ini, Azeez diputuskan untuk berada di lokap sehingga esok meskipun telah membayar ikat jamin RM450,000 seperti yang dibenarkan mahkamah.
Ini kerana, Abdul Azeez perlu menjalani perintah reman bagi siasatan kes Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan tipu pemberian hibah.
Sebelum ini, SPRM memutuskan untuk menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman dilaporkan berkata, langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah. – KOSMO! ONLINE

20 hours ago
10
















































