Melayan ikan kepala timah dengan teknik tanago

7 hours ago 7

Ikan kepala timah ini ada nama panggilan tempatan yang lain seperti keberas, cek teh, palo putih atau pok bunga.

Namanya dalam bahasa Inggeris, Malayan Blue Panchax dan nama saintifik­nya pula ialah Aplocheilus armatus.

Ikan ini mendapat namanya kerana terdapat satu tanda titik berkilau seperti timah atau perak di atas kepalanya.

Saiznya kecil, mempunyai badan yang panjang dan menirus sampai ke ekor dengan mulutnya menghala ke atas bagi memudahkan ia memakan diet utamanya berupa serangga.

Saiz maksimum direkodkan adalah sepanjang sembilan sentimeter, namun saiz sebesar itu sekarang sudah terlalu sukar ditemui akibat pencemaran di habitatnya.

Jika anda lepak di tepi paya, sungai atau tasik ketika lewat senja dan menyaksikan percikan-percikan air ikan sedang menangkap serangga yang jatuh di permukaan air, besar kemungkinan ia perbuatan ikan ini.

Justeru, ia juga ada peranan penting dalam ekosistem habitatnya iaitu sebagai agen kawalan nyamuk dan serangga-serangga lain.

Nostalgia
Saiznya yang kecil mungkin menyebabkan ia tidak begitu dipandang dan bukan buruan para pemancing.

Bagi saya pula, ikan ini kecil pada saiznya, tetapi besar nilainya dalam kenangan kerana inilah antara ikan yang menghiburkan zaman kanak-kanak saya satu ketika dahulu.

Di kawasan sekitar saya di Kota Bharu Kelantan, ikan kepala timah ini boleh ditemui di kawasan berpaya, sawah padi, tali air, parit dan anak sungai yang cetek serta mengalir perlahan.

Zaman kanak-kanak dahulu, kami akan membawa peralatan memancing yang sangat ringkas iaitu lidi kelapa dengan hujungnya diikat benang jahit.

Di hujung benang pula dikaitkan satu jarum jahit yang halus.

Cacing tanah menjadi umpan dan ia akan dicucuk dengan jarum jahit sehingga tembus badannya.

Ikan ini mendapat namanya kerana terdapat satu tanda berupa satu titik warna perak di atas kepalanya.

Kemudian, jarum dikeluarkan dari benang dan selepas itu diikat simpul cacing bersama benang.

Mata perlu tajam memerhatikan pergerakan air yang terhasil ketika ikan kepala timah berlegar-legar di permukaan air berhampiran tebing kawasan pancingan.

Sebaik sahaja kedudukannya dikenal pasti, umpan akan dihulurkan perlahan-lahan sambil menunggu dengan penuh sabar.

Apabila ikan menyambar umpan, kami perlu segera mengangkatnya sebelum ia sempat meluahkannya kembali.

Hati terasa puas apabila berjaya menaikkannya, walau hanya sebesar jari.

Paling seronok, masing-masing akan berebut-rebut siapa paling banyak dapat hasil tangkapan.

Ikan yang berjaya dipancing kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik atau di dalam botol dan dibawa pulang untuk dibela di dalam akuarium kerana ia cantik dengan ekor berwarna neon kebiruan.

Ketika itu, hasil bukanlah perkara yang penting bagi kami.

Apa yang utama adalah kese­ronokan bersama rakan-rakan sekampung.

Tanago
Jika dahulu saya menggunakan bahan-bahan yang boleh didapati di sekeliling rumah untuk memancing ikan kepala timah, kini set pancing tanago pula jadi pengganti.

Peralatannya jauh lebih kemas dan halus, malah memberikan pengalaman dan keseronokan yang tersendiri.

Joran pendek tanago panjang tiga kaki ini terdapat dalam bebe­ra­pa keratan (multi pieces) untuk meminimakan ruang penyimpanan dan ia tidak menggunakan kekili.

Tali sehalus antara satu hingga dua paun diikat di hujung joran.

Di hujung tali pula diikat mata kail saiz mikro antara nombor 24 hingga 30 (skala saiz mata kail untuk umpan layang).

Umpan seperti cacing tanah dan roti boleh digunakan, tetapi saya lebih memilih umpan khas untuk pancingan tanago kerana ia bersifat kenyal, ada bau istimewa dan dapat bertahan lama di mata kail halus itu.

Set pancing tanago yang halus itu juga saya rasakan sama seperti memancing menggunakan lidi kelapa kerana dapat rasa dengan jelas setiap getuan kecil daripada ikan kepala timah tersebut.

Walaupun saiz ikan kecil, namun jangan terperanjat kerana ia berupaya membengkokkan joran tanago yang bersifat super ultra-light, dan di situlah terletaknya keterujaan pancingan ini.

Daripada lidi kelapa sehinggalah kepada set pancing tanago, perjalanan itu telah menjadi sebahagian daripada cerita hidup saya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |