Seorang warga emas didenda RM6,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Angsi tanpa permit.
- Oleh NOR SHAFAWATI YUP
- 10 September 2026, 3:08 pm
SEREMBAN – Seorang warga emas didenda RM6,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Angsi dengan menjalankan aktiviti pertanian, dan penternakan tanpa permit pada Ogos lalu.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Lee Kai Sang, 61, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.
Mahkamah turut memerintahkan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara dua bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menjalankan aktiviti pertanian dengan menanam pokok limau kasturi, durian dan pisang serta menternak lebah kelulut dan ikan air tawar di dalam kolam di kawasan hutan simpan kekal tanpa suatu permit penggunaan lebih kurang pukul 10.13 pagi di dalam Konpartmen 55, Hutan Simpan Angsi, Seremban pada 12 Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang telah diterima pakai di Negeri Sembilan di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Penerimapakaian) 1986 yang boleh dihukun di bawah Subseksyen 32(2) enakmen yang sama. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4
















































