ASEAN masih berdepan cabaran jurang digital

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Di sebalik perkembangan pesat teknologi termasuk 5G dan kecerdasan buatan (AI), ASEAN masih berdepan cabaran merapatkan jurang penggunaan digital di rantau ini.

Ketua Asia Pasifik bagi Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA), Julian Gorman berkata, usaha menutup jurang penggunaan digital penting bagi memastikan lebih ramai masyarakat dan perusahaan dapat memanfaatkan perkembangan teknologi.

“Fokus besar adalah bagaimana kita menutup jurang penggunaan. Infrastruktur mudah alih tidak memberi kesan sepenuhnya jika ia tidak disertai penggunaan.

“Masih ada sebahagian masyarakat yang tidak menggunakan peranti mudah alih. Amat penting bagi kita untuk membantu mereka dengan menghapuskan halangan seperti isu kemampuan dan akses,” katanya ketika ditemui pada M360 ASEAN, di sini hari ini.

Gorman berkata, ekonomi digital bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah berupaya meningkatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan dan kesejahteraan masyarakat.

Katanya, perbezaan tahap pembangunan dan liputan teknologi antara negara ASEAN boleh menjadi kekuatan sekiranya negara anggota berkongsi pengalaman, kepakaran dan pendekatan dalam pembangunan teknologi seperti 5G dan AI.

“Kita boleh bekerja bersama-sama, berkongsi keadaan dan pengalaman serta melihat bagaimana setiap kawasan membangunkan teknologi masing-masing.

“Setiap negara mempunyai pendekatan yang berbeza dan kita boleh belajar antara satu sama lain,” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama serantau juga penting bagi memastikan agenda keterangkuman digital dapat dicapai, terutama dalam kalangan masyarakat yang masih berdepan kekangan akses dan kemampuan.

“Kerajaan ASEAN sudah menyedari bahawa menjelang 2030, kita akan mempunyai perkembangan digital yang besar. Sebab itulah kerjasama digital ASEAN sangat penting,” katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan M360 ASEAN akan kembali dianjurkan di Malaysia pada tahun depan, selari dengan peranan Malaysia dalam mengukuhkan kerjasama dan agenda digital ASEAN.

“M360 menjadi pemangkin untuk membantu rantau ini bergerak ke hadapan dan menyampaikan visi tersebut. Saya rasa visi itu sangat kuat dan sesuatu yang perlu dilaksanakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |