500 pemancing dijangka gegarkan Tasik Pandan Perdana Ahad ini

21 hours ago 17

PETALING JAYA – Kira-kira 500 kaki pancing dijangka memeriahkan pertandingan Raja Tasik Selangor 2026 di Tasik Pandan Perdana, Ampang Jaya Ahad ini ekoran lebih setahun tiada pertandingan memancing berskala besar dianjurkan di tasik berkenaan.

Pertandingan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dan turut membawa mesej pemeliharaan alam sekitar melalui usaha mengeluarkan spesies ikan asing yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem tasik.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata, antara ikan yang menjadi buruan pemancing pada hari berkenaan ialah patin, toman, haruan, tilapia, keli, baung, belida dan ketutu.

Katanya, juara bakal membawa pulang RM4,000, tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Peserta di kedudukan keempat hingga ke-80 pula menerima RM70, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Ujarnya, penganjuran kali ini antara usaha MPAJ menghidupkan kawasan rekreasi, mengeratkan hubungan komuniti serta memperkenalkan Tasik Pandan Perdana sebagai tarikan rekreasi dan pelancongan.

“Aktiviti memancing bukan sekadar rekreasi dan pertandingan, malah boleh menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga habitat serta kelestarian sumber perairan.

“Tahun ini merupakan tahun kedua kerjasama MPAJ dan Airfour Classic bersama Jawatankuasa Penduduk Zon 21 serta disokong Tourism Malaysia dalam menjayakan program berkonsepkan pertandingan memancing dan pelancongan,” katanya.

Katanya, penganjuran itu turut membawa semangat sambutan ulang tahun ke-34 penubuhan MPAJ yang disambut pada 1 Julai lalu.

Yuran penyertaan ditetapkan RM40 bagi satu joran dengan dua mata kail. Pendaftaran dibuka pada 12 September dari jam 3 petang hingga 7 malam, manakala pada hari pertandingan bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Sebanyak 500 helai T-shirt turut disediakan untuk peserta yang membuat pendaftaran awal.

Kehadiran peserta bersama ahli keluarga dan pengunjung pula dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga makanan, penjaja, pengusaha penginapan, perkhidmatan pengangkutan serta perniagaan sekitar Ampang Jaya.

Pada masa sama, acara itu berpotensi mengetengahkan Tasik Pandan Perdana sebagai produk rekreasi dan pelancongan, sekali gus menggalakkan pengunjung meneroka tarikan, makanan tempatan serta aktiviti lain di sekitar Ampang Jaya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai pertandingan boleh menghubungi penganjur di talian 013-2667011, 012-3554946 atau 012-2846811.
-habis

Read Entire Article
Pertanian | | | |