Penduduk lega, warga asing ‘Flat Hijau’ diserbu

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Penduduk Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9 di sini atau lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’ meluahkan rasa lega selepas kawasan kediaman mereka digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan awal pagi tadi.

Operasi itu menyaksikan seramai 325 warga asing ditahan selepas 740 individu diperiksa dalam serbuan yang dijalankan susulan aduan serta pendedahan Kosmo!, minggu lalu.

Tindakan penguat kuasa berkenaan turut mendapat reaksi positif penduduk yang mendakwa keberadaan warga asing di kawasan itu sudah lama menimbulkan kebimbangan, terutama pada waktu malam.

Seorang pengguna media sosial @aameerabalqis, meluahkan penghargaan kepada pihak yang terlibat menerusi hantaran selepas menyaksikan operasi berkenaan.

“Terima kasih pihak yang terlibat. Akhirnya ada juga operasi besar-besaran selepas beberapa tahun.

“Macam-macam ragam ada mereka (warga asing) ini, yang lari pun ada. Lokasi Flat Hijau. Terima kasih juga pihak Kosmo! kerana viralkan,” katanya dalam satu hantaran awal pagi tadi.

Menurutnya, jumlah pendatang asing di kawasan berkenaan didakwa lebih ramai berbanding penduduk tempatan sehingga menyebabkan penduduk wanita berasa kurang selamat.

“Pendatang dekat sini lagi ramai dari kami yang tempatan. Kalau malam-malam memang tak selamat sebab puak mereka memang ramai, bukan setakat Bangladesh, Indonesia.

“Harapnya ada perubahan lah lepas ini. Saya wakil penduduk perempuan dekat sini selalu terasa terancam,” luahnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk menggunakan akaun Threads @rabiatuladawiyah87, mendakwa isu keberadaan warga asing di Flat Hijau sudah berlaku sejak lebih sedekad lalu.

“Dari zaman kerja tahun 2009 lagi bersepah warga asing dekat Flat Hijau tu. Masa itu tak sabar nak pindah sebab seram betul tinggal dekat situ. Kita nak tinggal di Putrajaya pun tak selesa,” katanya.

Turut menyambut baik operasi itu ialah @annasaibichoa yang menyifatkan tindakan JIM sebagai langkah membersihkan kawasan tersebut daripada lambakan warga asing.

“Alhamdulillah. Tak tahu nak kata apa, akhirnya di kasi bersih juga Flat Hijau. Melampau sudah makin ramai mereka (warga asing). Nasib baik waktu operasi saya tiada di rumah, kalau ada sudah jadi penyibuk di situ,” katanya.

Pengguna @admdnyal pula memuji tindakan JIM yang disifatkan pantas selepas isu berkenaan didedahkan Kosmo! dan mendapat perhatian menyeluruh di media sosial.

“Mantap imigresen laju buat kerja. Baru je viral dua tiga hari lepas. Flat Hijau memang ‘Selayang Putrajaya’,” katanya.

Dalam operasi itu, seramai 127 pegawai dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terbabit dalam pemeriksaan.

JIM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, 325 warga asing yang ditahan terdiri daripada 270 lelaki dan 55 wanita berusia antara 18 hingga 56 tahun.

Mereka membabitkan warganegara Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.

Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan berkaitan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |