Bunuh remaja: Pemandu Toyota Vellfire, empat didakwa

7 hours ago 11

KULAI – Seorang pemandu Toyota Vellfire berdepan hukuman mati selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Choo De Hui, 26, faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa mandarin dihadapan Majistret R. Salini.

Mengikut pertuduhan De Hui telah melakukan kesalahan bunuh hingga
menyebabkan kematian ke atas seorang remaja 17 tahun pada 25 Ogos lalu di antara pukul 12.20 tengah malam hingga 12.33 tengah malam di bulatan persiaran Indahpura 4, di sini.

Ekoran itu dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau pemenjaraan maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Dalam masa sama tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan cubaan membunuh dengan niat ke atas empat individu lain berusia 15 hingga 20 tahun pada tarikh dan waktu yang sama di Jalan Kiambang 9 dan Bulatan Persiaran Indahpura 4, di sini.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana orang, hendaklah dipenjara maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 2 Disember sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara di mahkamah sama, empat remaja berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat sepakat, sengaja melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin bahagian belakang dan cermin hadapan sebelah kiri sebuah Perodua Myvi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh yang sama kira-kira pukul 12.33
tengah malam di bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai sehingga menyebabkan kerugian terhadap Lai Yun Zhe Jeff, 20.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa dibawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Weng Hong memohon mahkamah agar mengenakan jaminan RM3,000 bagi setiap seorang manakala peguam mewakili kesemua tertuduh K.C Lim memohon agar dikurangkan.

Salini kemudian menetapkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga sahaja.

Mahkamah juga menetapkan tarikh 28 Oktober untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Dalam kejadian 25 Ogos lalu, seorang remaja berusia 17 tahun maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah Perodua Myvi sebelum dilanggar sebuah Toyota Vellfire di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai, kira-kira pukul 12.38 tengah malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan polis mendapati kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru, namun motif sebenar masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |