DAHULU petani menggunakan kudrat empat kerat turun ke bendang mengerjakan tanah sawah ‘sekangkang kera’, serta menggunakan kaedah manual dan tradisional bagi mendapatkan hasil buat mengisi perut keluarga.
Kini, wajah industri penanaman padi berubah dari masa ke masa mengikut perkembangan teknologi, bahkan penghasilan padi terus berkembang sejajar penggunaan alatan dan jentera yang lebih moden.
Perkembangan serta pencapaian yang diusahakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) itu antara yang menarik perhatian pengunjung sewaktu mengunjungi Laman Padi, Galeri BERNAS serta Pavilion BERNAS di Dewan A, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, baru-baru ini.
Pengunjung, Anum Arshad, 52, berkata, dia memuji usaha BERNAS memperkenalkan pelbagai alatan dan teknologi terkini penanaman padi kerana sebagai anak pesawah, dia melihat sendiri kudrat bapanya mengusahakan bendang dengan tulang empat kerat.
Anum Arshad“Sekarang dah moden, saya sediri anak petani dan ayah pesawah. Dulu buat secara manual, tapi sekarang dah moden, padi setahun dua kali dan proses juga cepat.
“Padi sekarang juga lebih bermutu, berkualiti dan banyak varieti. Dengan teknologi terkini yang canggih, boleh tarik minat anak muda kerana tidak perlu lagi guna tenaga selain dapat memajukan lagi industri padi,” katanya.
Suri rumah itu turut mengimbas kenangan membantu ibu bapanya mengerjakan sawah di Pulau Pinang ketika dia masih bersekolah dan ketika itu mereka menggunakan kaedah tradisional.
“Kalau di Pulau Pinang, musim menuai dipanggil musim mengerat. Kita menampi padi untuk makan sendiri di rumah dan ada juga dijual.
“Sekarang dah ada kilang padi dan ada jentera, guna dron untuk meracun dan tidak perlu kaedah manual,” katanya.
Halimatul FatihaPengunjung, Halimatul Fatihah Ibrahim, 40, yang ditemui di Laman Padi berkata, sebelum ini orang ramai hanya mengetahui penanaman padi yang dilakukan menerusi kaedah tradisional dan konvensional.
“Bagaimanapun di Laman Padi ini, kita boleh nampak jentera yang digunakan. Rasa kagum kerana hasil ini untuk negara sekali gus menjana ekonomi kita selama ini.
“Kita lihat macam mana pesawah-pesawah padi ini berupaya menjana ekonomi bermula dengan kecil-kecilan. Jadi kita rasa bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, Laman Padi juga sesuai untuk kunjungan keluarga dan anak-anak dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan, selain terdapat Galeri BERNAS yang berkongsi maklumat kepada pengunjung berkenaan industri penanaman padi.
Selain Laman Padi dan Galeri BERNAS, Pavilion BERNAS di Dewan A juga antara reruai yang mendapat sambutan hangat pengunjung bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan sektor padi Negara di samping menyertai aktiviti disediakan.
Iman SyamsulPelajar Institut Pertanian Bumbong Lima, Pulau Pinang, Iman Syamsul Hafizee, 19, berkata, dia menghadiri MAHA 2026 kali ini bersama rombongan 41 pelajar diiringi pensyarah dan mengambil kesempatan mengunjungi Pavilion BERNAS bagi menyertai aktiviti di situ.
“Sebagai orang awam lebih-lebih lagi pelajar pertanian, saya dapat banyak maklumat mengenai industri penanaman padi di Pavilion BERNAS selain jenis-jenis beras dipamerkan di sini.
“Pengunjung diberi maklumat tentang beras tempatan dan beras import serta segala jenis-jenis beras yang mana sebelum ini kita hanya makan sahaja, tetapi tidak ambil tahu di sebalik menghasilkannya,” katanya.
Rakannya, Muhammad Qhairil Irfan Mohd Rhidduan, 19, berkata, pelbagai informasi dipelajarinya di Pavilion BERNAS dan ia akan menjadi nilai tambah di dalam topik pembelajarannya.
Muhammad Qhairil“Saya belajar peringkat sijil dan untuk semester akan datang, kami akan belajar tentang padi. Jadi sedikit sebanyak saya mengenali dengan lebih dekat mengenai industri penanaman padi di Pavilion BERNAS ini.
“BERNAS juga mengadakan aktiviti dan kuiz sekali gus tarikan kepada orang ramai untuk mencuba nasib dan mendapatkan hadiah,” katanya.
Menerusi MAHA 2026 baru-baru ini, BERNAS berkongsi kepada pengunjung antaranya pengurusan bekalan beras negara, ekosistem padi dan beras berfungsi serta peranan penting BERNAS kepada keterjaminan makanan negara.
Ia termasuk stok penimbal negara, import beras, keterjaminan makanan, inisiatif kelestarian serta obligasi sosial dalam satu pengalaman yang menyeluruh dan mudah difahami.
BERNAS turut menampilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Galeri BERNAS, Laman Padi, manakala di Pavilion BERNAS pula, pengunjung boleh berinteraksi dengan ‘Intan’, pembantu digital berasaskan AI, selain meneroka pelbagai kandungan berkaitan kelestarian, komuniti dan inisiatif dilaksanakan pihak BERNAS di luar pengurusan bekalan beras. -KOSMO! ONLINE

11 hours ago
8
















































