‘Ramai hantar bukti Afreena curang termasuk daripada bekas suami’

7 hours ago 4

SEPANG – Pelawak dan pelakon, Along Cham mengakui terkejut besar apabila menerima rakaman suara didakwa berkait kecurangan isterinya, Afreena Suhaimi.

Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, bukti audio itu bakal dibentangkan di hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 3 Julai depan, selepas melalui semakan awal oleh peguam syarie mewakilinya, Muhammad Akmal Amzan.

“Pada awalnya saya sendiri terperanjat bila dengar rakaman itu, tapi benda sebegini tak boleh dibentang sembarangan. Peguam saya dah dengar dan nilai dulu sebelum dibawa ke mahkamah.

“Pihak sebelah sana pun terkejut bila saya tunjuk bukti ini. Mereka sangka saya hanya ada hal berkaitan bekas isteri saya, rupa-rupanya lebih dari itu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ketika ditanya mengenai dakwaan gambar Afreena bersama lelaki lain sewaktu masih sah sebagai isteri, pelakon filem Seratus itu tidak menafikan malah mengesahkan turut menerima bahan bukti sama.

Ujarnya, segala maklumat datang bukan atas usaha sendiri, sebaliknya bantuan orang sekeliling yang pernah rapat dengan isterinya, termasuk bekas suami wanita itu.

“Dia lupa, dia kahwin dengan artis. Ramai yang kenal saya, ramai juga yang tampil beri maklumat. Termasuk bekas suami dia sendiri.

“Saya sedikit ralat, kenapa tidak beritahu lebih awal? Kalau saya tahu dari awal, tentu lain jalan cerita rumah tangga kami. Tapi sekarang nasi dah jadi bubur.

“Saya tak pernah cari pun semua bukti ini, tapi Allah bantu. Daripada gambar sehinggalah rakaman suara, semua sangat membantu perjalanan kes. Sekarang saya tunggu pula apa ‘plot twist’ dari pihak sana,” jelasnya pada prosiding kedua pengesahan lafaz cerai taklik, di sini, hari ini.

Terdahulu, Afreena pernah mendakwa rumah tangga mereka sudah bermasalah sejak dua bulan berkahwin.

Wanita itu turut mendedahkan pernah berlaku lafaz cerai luar mahkamah pada Jun tahun lalu.

Pasangan tersebut bernikah pada 4 April 2023, manakala ini merupakan perkahwinan kedua buat Along selepas bercerai dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016.

Hasil perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |