PUCHONG – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kemelut yang melanda institusi kehakiman ketika ini susulan pelbagai dakwaan serius yang mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, kontroversi yang pada mulanya hanya membabitkan isu kekosongan jawatan dalam badan kehakiman kini semakin membimbangkan.
Katanya, Keadaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.
Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk kelewatan tindakan terhadap pencalonan hakim-hakim baharu oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), serta kegagalan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan walaupun pencalonan telah dikemukakan sebelum persaraan penyandang terdahulu.
“Pencalonan bagi pelantikan hakim-hakim baru yang telah dihantar oleh JAC kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar yang sewajarnya, yang menyebabkan kekosongan menjadi mendesak,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu mesyuarat tergempar JAC yang didakwa tidak mematuhi syarat notis 10 hari dan sehubungan itu, laporan polis telah dibuat oleh seorang pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Hal yang demikian telah disahkan apabila satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan tersebut dan kini dalam pengetahuan awam,” ujarnya.
Rafizi menegaskan bahawa insiden ini membawa persamaan dengan skandal video VK Lingam pada tahun 2007, yang turut membabitkan dakwaan pengaruh terhadap pelantikan dan keputusan kehakiman.
“Kali terakhir institusi kehakiman terheret di dalam kemelut yang melibatkan tuduhan adanya pengaruh bersabit keputusan kes dan lantikan hakim ialah skandal video VK Lingam pada 2007.
“Seperti mana Keadilan menuntut dan menyokong sebuah siasatan oleh Suruhanjaya Diraja semasa skandal VK Lingam dahulu, kami mencadangkan agar satu Suruhanjaya Diraja juga ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang berlegar,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa permohonan rasmi akan dibuat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) untuk menjalankan prosiding dan siasatan, termasuk memanggil Perdana Menteri bagi memberikan keterangan.
Pihaknya juga menegaskan bahawa sebarang pelantikan baharu ke jawatan kehakiman hanya wajar dibuat selepas semua dakwaan berkaitan disiasat sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE.